Monday, October 26, 2009

136 maut serangan ganas di Iraq



SEJUMLAH penduduk Iraq berhimpun di lokasi serangan pengebom berani mati di Kementerian Keadilan di Baghdad semalam.


BAGHDAD - Dua pengebom berani mati menyerang Baghdad semalam menyebabkan 136 orang terbunuh manakala lebih 500 lagi cedera semalam.

Kejadian itu merupakan yang paling buruk pernah berlaku pada tahun ini.

Dua letupan merosakkan beberapa bangunan dan asap menjulang ke udara dekat Sungai Tigris .

Menurut polis, letupan pertama menyasarkan bangunan Kementerian Keadilan manakala beberapa minit kemudian pengebom kedua meletupkan diri di kawasan yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan tempatan.

Pejabat Perdana Menteri Nuri al-Maliki berkata, kejadian itu dilakukan bagi menunjukkan bahawa huru hara berlaku di Iraq.

Ia menyatakan serangan itu mirip kejadian yang berlaku pada 19 Ogos lalu terhadap Kementerian Luar dan Kewangan dengan tujuan untuk menjejaskan pilihan raya Januari depan.


ASAP menjulang dekat bangunan Kementerian Keadilan akibat serangan pengebom berani mati di Baghdad semalam.


"Kejadian itu merupakan tangan-tangan hitam yang sama berlumuran darah dengan rakyat Iraq," kata satu kenyataan daripada pejabat perdana menteri.

"Mereka (perancang serangan) mahu mencetuskan huru hara di dalam negara, menjejaskan proses politik dan menghalang pilihan raya parlimen," tambah kenyataan berkenaan.

Kejadian itu dianggap terburuk tahun ini kerana keganasan sudah berkurangan sejak Amerika Syarikat (AS) menghantar askar tambahan.

Namun, serangan-serangan masih berlaku di negara itu yang cuba untuk dibangunkan semula akibat konflik selain bersedia untuk menghadapi pengunduran askar-askar AS.

Beberapa pegawai Iraq menyalahkan negara jiran yang tidak didedahkan namanya kerana tidak menghalang serangan itu.

Namun, ia dipercayai merujuk kepada aduan pemerintah Iraq bahawa Syria menyediakan tempat perlindungan selamat untuk bekas-bekas anggota Parti Ba'ath yang pernah dipimpin oleh Saddam Hussein.


BEBERAPA anggota keselamatan dan orang ramai menolak sebuah kereta bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di Kementerian Keadilan Iraq, Baghdad

semalam.


Saddam digulingkan sebagai presiden Iraq oleh tentera AS dan sekutu-sekutunya pada 2003.

"Saya tidak mengetahui diri saya masih hidup. Letupan itu merosakkan apa sahaja," kata seorang peniaga, Hamid Saadi.

Tentera AS menyediakan pasukan forensik dan pakar-pakar bom untuk menyiasat kejadian itu.

Sumber-sumber polis menyatakan bom itu dibawa di dalam van yang dibawa oleh pengebom berani mati manakala terdapat pemberi maklumat memberitahu, sebuah trak dan kereta digunakan dalam serangan tersebut. - Agensi


sumber

0 Comments: