Tuesday, October 20, 2009

Belia Islam: Peranan dan Tanggungjawab

Belia atau pemuda semalam dan hari ini adalah bakal pemimpin masa hadapan serta akan mengisi saf kepimpinan baru negara. Oleh itu, sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan realistik ini adalah sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Biarpun begitu, kelompok belia atau pemuda secara objektifnya mempunyai idealisme mereka yang tersendiri dan tidak wajar dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Oleh demikian, mereka perlu tegas dan berani menyatakan hasrat dan pandangan tanpa berpihak kepada mana-mana badan serta bebas mengkritik dan memberi pendapat dalam semua perkara.

Sehubungan itu, diharapkan ini menjadi titik tolak dan pemangkin kepada gerakan belia di seluruh negara serta menyemarakkan lagi peranan dan potensi mereka sebelum terjun ke dalam kancah dan realiti masyarakat sebenar. Jika belia dan pemuda Palestin ketika ini sedang sibuk bertungkus lumus melawan pencerobohan Israel, sekatan ekonomi serta berusaha membangunkan semula negara mereka yang telah teruk dimusnahkan, namun di negara kita golongan sebaya ini terutamanya remaja masih dibelenggu dengan pelbagai masalah serta krisis keruntuhan akhlak yang teruk seperti penyalahgunaan dadah, aktiviti pelacuran, pergaulan dan seks bebas, hidonisme dan sebagainya. Ini adalah cabaran dan realiti sosial yang perlu ditangani oleh belia Islam dari masa ke semasa.

Dalam buku Belia Dalam Pembangunan Dunia Melayu Dunia Islam (2002), turut disentuh tentang peranan belia Melayu dan Islam, cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi terutama sekali dalam memastikan golongan ini tidak tertinggal jauh oleh arus pemodenan. Ini adalah kerana para belia perlu menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi (IT) agar ilmu yang diperolehi dapat membantu memajukan umat Islam. Selain penguasaan dalam bidang IT, bidang ekonomi dan politik juga penting di dalam senario globalisasi yang sedang diketengahkan oleh kuasa-kuasa Barat dan tidak dinafikan lagi bahawa golongan belia adalah aset yang cukup berharga kepada sesebuah negara atau bangsa. Kekuatan dan kelemahan sesuatu bangsa dan negara banyak bergantung kepada kekuatan dan kelemahan para belianya sepanjang zaman.

Warisan seni budaya pula penting bagi membentuk dan membina jati diri orang Melayu dan lslam. Kesejahteraan dan keamanan sesebuah negara turut bergantung kepada kualiti para belia hari ini di mana sekiranya mereka dapat meningkatkan kecemerlangan diri dan mengikis sikap rendah diri, sudah pasti belia Melayu dan Islam hari ini tidak akan dipandang rendah oleh bangsa lain. Kesedaran sejarah juga boleh dijadikan sumber inspirasi kepada generasi masa kini dan dalam konteks pembangunan belia Islam, sejarah telah menonjolkan kepentingan dan peranan belia dalam proses pembinaan tamadun ummah. Pelbagai peristiwa seperti yang dirakamkan oleh al-Qur’an telah memaparkan model untuk diteladani belia masakini khususnya dalam mempertahankan jati diri dan menghadapi cabaran semasa.

Selanjutnya, belia hari ini perlulah dilengkap dan dipersiapkan dengan pendidikan tinggi dalam segala aspek terutamanya peluang ke universiti. Ini adalah kerana universiti adalah medan terbaik kepada golongan belia untuk membina kaliber dan mengasah bakat kepimpinan, mengumpul ilmu pengetahuan dan pengalaman seluasnya serta membentuk jaringan perhubungan yang luas dalam pelbagai dimensi dan sebagainya melalui gerakan aktivisme di dalam dan luar kampus. Untuk itu, mahasiswa Islam perlu mengambil peluang dan ruang yang cukup luas dan meletakkan semula fungsi mereka sebagai agen perubahan dan jurubicara umat. Mereka tidak boleh lagi layu dan lesu terhadap sesuatu perkara yang berlaku di mana mereka perlu lebih aktif dan agresif menjuarainya. Justeru berdasarkan premis tersebut, universiti adalah platform dan forum merangka formula ke arah melahirkan belia yang berintegriti, bersahsiah dan bermaruah.

Golongan berwibawa ini tidak boleh dibiarkan terlalu kaku, lemah dan mundur dalam segala hal, tetapi mesti melalui proses transformasi yang jitu ke arah mempersiapkan mereka sebagai barisan warga serba boleh, berfikiran besar dan bersedia berhadapan dengan segala cabaran kehidupan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka generasi yang lemah“ (An-Nisa : 9) dan renungilah firman Allah s.w.t yang bermaksud: “sesungguhnya generasi yang paling baik yang kamu pilih untuk bekerja ialah generasi yang kuat lagi dapat dipercayai” (Al-Qashash : 26). Persoalan yang timbul ialah sejauhmanakah barisan kepimpinan dan belia di seluruh negara bersedia dan apakah perancangan serta tindakan mereka selepas ini. Tepuk dada, tanya belia!

Rujukan

Abdul Latif Abu Bakar, et all, 2002. Belia Dalam Pembangunan Dunia Melayu Dunia Islam. Kuala Lumpur: Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia (IKSEP)

0 Comments: