Sunday, May 16, 2010

Modul pendidikan seks di sekolah

ADA sesuatu yang perlu diperbetulkan dalam mentaliti masyarakat kita apabila membicarakan soal seks. Sikap tabu, tertutup dan menganggap seks sebagai subjek menjijikkan antara pandangan yang membelenggu minda masyarakat dan sukar diubah.

Masyarakat masih menganggap soal seks hanya boleh dibicarakan golongan dewasa yang berkahwin, bukan di kalangan kanak-kanak atau pelajar.


Bagaimanapun, masyarakat lupa seks adalah sesuatu yang suci, malah Islam mempunyai peraturan mengenai perkara itu, cuma ia tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan nafsu semata-mata.


Mana lebih baik, sama ada seks dibicarakan secara terbuka dalam suasana ilmiah atau membiarkan pelajar mencarinya melalui Internet yang kesannya lebih berbahaya? Pegawai Psikologi Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam, Selangor, Sulaiman Selamat berkata, pendidikan seks perlu dipelajari tanpa mengira usia dan latar belakang kerana ia satu proses pembelajaran berterusan.


Beliau berkata, membina benteng dengan menganggap soal pendidikan seks perkara memalukan tidak membantu menyelesaikan masalah sosial, malah lebih merumitkan keadaan.


"Soal seks dalam masyarakat kita terlalu tertutup, menyebabkan golongan yang ingin memperoleh maklumat sering kali dipandang serong.


"Mereka lupa, pertanyaan dan pendedahan itu satu proses pembelajaran sepanjang hayat. Apa yang menjadikannya jijik dan kotor adalah istilah semata-mata.


"Jangan kita sempitkan minda kerana itu cabang ilmu yang perlu dipelajari. Justeru, masyarakat perlu mengubah mentaliti mengenai seks bagi mengelak ia menghalang proses pembelajaran," katanya.


Isu pendidikan seks bukan sesuatu yang baru, malah banyak kali cuba diterapkan di sekolah tetapi akhirnya menemui jalan buntu.

Berikutan masalah sosial di kalangan remaja yang kian membimbangkan terutama gejala buang bayi, ia timbul semula dan terus menjadi perbahasan pelbagai pihak, yang setuju dan membantah. Realitinya, pendidikan seks adalah sebahagian daripada proses pembelajaran sejak lahir hingga ke liang lahad. Perkahwinan, kelahiran dan tanggungjawab suami isteri tidak dapat lari daripada keperluan seks.


Cuma, katanya, keghairahan dan kecenderungan generasi hari ini menyalah guna serta mentafsirkan soal itu menjadikan pendidikan seks semakin rosak dan menyimpang daripada matlamatnya.


Natijahnya, golongan muda menjadi mangsa kerana mereka 'terperangkap' dengan stigma yang dilemparkan masyarakat.


"Antara matlamat awal pengenalan pendidikan ini ialah untuk mendidik individu secara ilmiah mengenai fungsi tubuh secara biologi. Malangnya, ia disalah guna menjadi seperti subjek tidak bertamadun sedangkan agama juga menitikberatkannya. "Cuba lihat reaksi pelajar apabila mereka belajar mengenai pendidikan seks. Jika tidak diterangkan dari awal, pasti mereka anggap pembelajaran itu hanya mengenai satu aspek saja.

Sumber:

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
2010/05/09

0 Comments: