Saturday, May 29, 2010

KTM n DINA: Rakyat Brunei rugi RM211j

Harussani Zakaria
Harussani Zakaria


4,763 minta bantuan dapatkan semula pelaburan dalam firma Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai 4,763 rakyat Brunei yang melabur dalam sebuah syarikat yang didaftarkan di negara ini memohon bantuan kerajaan Malaysia membantu mereka mendapatkan semula wang pelaburan yang didakwa berjumlah B$91.5 juta (RM211.549 juta).

Sembilan wakil pelabur itu yang berada di negara ini sejak Ahad lalu untuk menyelesaikan masalah berkenaan, mendakwa mereka melabur menerusi sebuah entiti, iaitu Kelab Taqwa Malaysia (KTM) yang dimiliki Syarikat Kumpulan Dina yang mempunyai cawangan di Brunei dan Sarawak.

Seorang wakil mereka yang enggan namanya disiarkan mendakwa, ketika kempen menarik pelaburan, KTM yang beroperasi di Limbang, Sarawak, mendakwa menggunakan kaedah urus niaga berunsurkan Islam dengan slogan 'Diri Islam, Negara Aman', menyebabkan mereka yakin melabur.

“Wakil syarikat itu mendakwa melantik Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai penasihat syariah sejak Mac 2008 untuk meyakinkan pelabur,” katanya ketika datang ke Berita Harian, semalam.

Beliau berkata, sebelum membuat pembayaran kepada KTM, mereka berurusan dengan sebuah lagi syarikat dikendalikan pengurusan sama, Pan Phoenix Dina Sdn Bhd (PPD) di Brunei, tetapi ditutup tidak lama selepas itu kerana dikatakan terbabit menerima deposit tanpa lesen perbankan sah.

Seorang pesara lelaki yang turut melabur berkata, pembayaran keuntungan berjalan lancar sejak 2007 sehingga syarikat itu ditutup pada 16 Mac tahun lalu.

Beliau berkata, selepas ditutup, seorang daripada pengasas syarikat warga Malaysia membuat perjanjian untuk membayar semula modal secara berperingkat pada September tahun lalu dan awal tahun ini, namun ia tidak dilaksanakan dan mereka menghilangkan diri tanpa dapat dihubungi.
“Selain menggunakan wang persaraan, saya resah kerana selalu menerima panggilan rakan dan saudara mara bertanyakan mengenai wang pelaburan mereka yang masih tidak dikembalikan syarikat berkenaan,” katanya.

Seorang wanita yang melabur B$165,000 (RM381,482) mendakwa, mereka sudah berjumpa wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dan dimaklumkan antara RM20 hingga RM30 juta wang milik KTM dibekukan kerana kesalahan menerima deposit tanpa lesen sah.

“Meskipun dimaklumkan pelabur bakal menerima semula wang selepas kes diputuskan oleh mahkamah, ia akan memakan masa dan selepas pelbagai ikhtiar, kami berharap pemimpin di Malaysia dapat membantu kami.

“Bukan semua rakyat Brunei yang melabur dalam syarikat itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan tinggi. Selain menggunakan wang persaraan, ada yang membuat pinjaman kerana menyangkakan memperoleh pulangan lumayan,” katanya.

Harussani ketika dihubungi berkata, beliau tidak lagi berhubungan dengan mana-mana wakil syarikat itu selepas dimaklumkan ia ditutup dan tiada pelabur yang datang atau menghubunginya.

Sementara itu, berdasarkan salinan maklumat daripada pelabur syarikat itu, KTM dan PPD yang mengeluarkan produk cucian jenama Dina, mempunyai beberapa pejabat, antaranya di Shah Alam, Pengkalan Chepa, Kelantan dan Sarawak.

Antara skim pelaburan yang ditawarkan syarikat itu adalah Al Iwa 2 dengan pelaburan serendah B$500 (RM1156) membabitkan kontrak dua tahun dengan keuntungan dijanjikan 24 peratus sebulan. Pelaburan tertinggi yang ditawarkan ialah Al Ghani dengan permulaan serendah B$200,000 (RM462,403) dengan kontrak setahun dan keuntungan 30 peratus sebulan.

April tahun lalu, Pengarah Pan Phoenix Dina Sdn Bhd, M Bakri Kamaruddin dan Zainal Md Yusof dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM33 juta yang boleh menyebabkan mereka dihukum penjara lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

sumber: berita harian

Friday, May 28, 2010

Denda RM30,000 jual gambar lucah

Tajulzairi Tajuddin
Tajulzairi Tajuddin

Kerani bank mengaku salah guna aplikasi pornografi bertujuan kaut untung

KLANG: Seorang kerani bank yang menjadi individu pertama dituduh menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, semalam didenda RM 30,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan terbabit.

Hakim Slamat Yahya turut memerintahkan Tajulzairi Tajuddin, 31, dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tajulzairi dituduh menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dengan alamat IP 112.137.162.108 di laman web http://www.wanitamelayu2.com/login dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Aras 1, Jabatan Kawalselia Kandungan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di Persiaran Multimedia, Cyberjaya, Sepang, jam 5 petang, 10 Jun tahun lalu.

Tajulzairi didakwa mengikut Seksyen 233 (2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum denda maksimum RM 50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 2 Jun tahun lalu, pengarah Jabatan Kawalselia Kandungan SKMM membuat laporan kepada Jabatan Siasatan SKMM terhadap laman web itu yang dikatakan mengandungi kandungan sumbang, lucah dan tidak menyenangkan.

Pada 10 Jun, seorang pegawai SKMM diarah mendaftar di laman web itu sebagai ahli VIP selama enam bulan dengan bayaran RM30 dan membuat pembayaran seperti arahan di laman web itu melalui perbankan internet.

Ketika proses pembayaran, beliau mendapati akaun itu dimiliki oleh Tajulzairi dan emel penerima adalah wanitamelayu2u@yahoo.com.

Selepas pembayaran dibuat, pegawai SKMM itu kemudian mengisi borang permohonan VIP dalam laman web terbabit dan menghantar permohonan itu secara dalam talian. Beliau kemudian dimaklumkan permohonannya berjaya dan akan disahkan dalam masa 12 ke 48 jam.

Pengesahan untuk menjadi ahli VIP selama enam bulan diterima melalui emel miliknya dan selepas mendapat pengesahan itu, pegawai SKMM berkenaan menyerahkan maklumat itu kepada pegawai penyiasat kes iaitu Mohamad Syukri Jamaluddin.

Keputusan analisis dan laporan forensik menunjukkan terdapat kandungan imej dan video lucah dalam laman web http://www.wanitamelayu2.com dan menunjukkan ia ada digunakan untuk mengakses laman web terbabit dari akaun pentadbir yang dimiliki Tajulzairi.

Dipetik dari Berita Harian

Tuesday, May 25, 2010

Pakaian Tidak Menepati Syariat Islam








Sunday, May 16, 2010

Modul pendidikan seks di sekolah

ADA sesuatu yang perlu diperbetulkan dalam mentaliti masyarakat kita apabila membicarakan soal seks. Sikap tabu, tertutup dan menganggap seks sebagai subjek menjijikkan antara pandangan yang membelenggu minda masyarakat dan sukar diubah.

Masyarakat masih menganggap soal seks hanya boleh dibicarakan golongan dewasa yang berkahwin, bukan di kalangan kanak-kanak atau pelajar.


Bagaimanapun, masyarakat lupa seks adalah sesuatu yang suci, malah Islam mempunyai peraturan mengenai perkara itu, cuma ia tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan nafsu semata-mata.


Mana lebih baik, sama ada seks dibicarakan secara terbuka dalam suasana ilmiah atau membiarkan pelajar mencarinya melalui Internet yang kesannya lebih berbahaya? Pegawai Psikologi Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam, Selangor, Sulaiman Selamat berkata, pendidikan seks perlu dipelajari tanpa mengira usia dan latar belakang kerana ia satu proses pembelajaran berterusan.


Beliau berkata, membina benteng dengan menganggap soal pendidikan seks perkara memalukan tidak membantu menyelesaikan masalah sosial, malah lebih merumitkan keadaan.


"Soal seks dalam masyarakat kita terlalu tertutup, menyebabkan golongan yang ingin memperoleh maklumat sering kali dipandang serong.


"Mereka lupa, pertanyaan dan pendedahan itu satu proses pembelajaran sepanjang hayat. Apa yang menjadikannya jijik dan kotor adalah istilah semata-mata.


"Jangan kita sempitkan minda kerana itu cabang ilmu yang perlu dipelajari. Justeru, masyarakat perlu mengubah mentaliti mengenai seks bagi mengelak ia menghalang proses pembelajaran," katanya.


Isu pendidikan seks bukan sesuatu yang baru, malah banyak kali cuba diterapkan di sekolah tetapi akhirnya menemui jalan buntu.

Berikutan masalah sosial di kalangan remaja yang kian membimbangkan terutama gejala buang bayi, ia timbul semula dan terus menjadi perbahasan pelbagai pihak, yang setuju dan membantah. Realitinya, pendidikan seks adalah sebahagian daripada proses pembelajaran sejak lahir hingga ke liang lahad. Perkahwinan, kelahiran dan tanggungjawab suami isteri tidak dapat lari daripada keperluan seks.


Cuma, katanya, keghairahan dan kecenderungan generasi hari ini menyalah guna serta mentafsirkan soal itu menjadikan pendidikan seks semakin rosak dan menyimpang daripada matlamatnya.


Natijahnya, golongan muda menjadi mangsa kerana mereka 'terperangkap' dengan stigma yang dilemparkan masyarakat.


"Antara matlamat awal pengenalan pendidikan ini ialah untuk mendidik individu secara ilmiah mengenai fungsi tubuh secara biologi. Malangnya, ia disalah guna menjadi seperti subjek tidak bertamadun sedangkan agama juga menitikberatkannya. "Cuba lihat reaksi pelajar apabila mereka belajar mengenai pendidikan seks. Jika tidak diterangkan dari awal, pasti mereka anggap pembelajaran itu hanya mengenai satu aspek saja.

Sumber:

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
2010/05/09