Friday, May 28, 2010

Denda RM30,000 jual gambar lucah

Tajulzairi Tajuddin
Tajulzairi Tajuddin

Kerani bank mengaku salah guna aplikasi pornografi bertujuan kaut untung

KLANG: Seorang kerani bank yang menjadi individu pertama dituduh menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, semalam didenda RM 30,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan terbabit.

Hakim Slamat Yahya turut memerintahkan Tajulzairi Tajuddin, 31, dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tajulzairi dituduh menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dengan alamat IP 112.137.162.108 di laman web http://www.wanitamelayu2.com/login dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Aras 1, Jabatan Kawalselia Kandungan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di Persiaran Multimedia, Cyberjaya, Sepang, jam 5 petang, 10 Jun tahun lalu.

Tajulzairi didakwa mengikut Seksyen 233 (2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum denda maksimum RM 50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 2 Jun tahun lalu, pengarah Jabatan Kawalselia Kandungan SKMM membuat laporan kepada Jabatan Siasatan SKMM terhadap laman web itu yang dikatakan mengandungi kandungan sumbang, lucah dan tidak menyenangkan.

Pada 10 Jun, seorang pegawai SKMM diarah mendaftar di laman web itu sebagai ahli VIP selama enam bulan dengan bayaran RM30 dan membuat pembayaran seperti arahan di laman web itu melalui perbankan internet.

Ketika proses pembayaran, beliau mendapati akaun itu dimiliki oleh Tajulzairi dan emel penerima adalah wanitamelayu2u@yahoo.com.

Selepas pembayaran dibuat, pegawai SKMM itu kemudian mengisi borang permohonan VIP dalam laman web terbabit dan menghantar permohonan itu secara dalam talian. Beliau kemudian dimaklumkan permohonannya berjaya dan akan disahkan dalam masa 12 ke 48 jam.

Pengesahan untuk menjadi ahli VIP selama enam bulan diterima melalui emel miliknya dan selepas mendapat pengesahan itu, pegawai SKMM berkenaan menyerahkan maklumat itu kepada pegawai penyiasat kes iaitu Mohamad Syukri Jamaluddin.

Keputusan analisis dan laporan forensik menunjukkan terdapat kandungan imej dan video lucah dalam laman web http://www.wanitamelayu2.com dan menunjukkan ia ada digunakan untuk mengakses laman web terbabit dari akaun pentadbir yang dimiliki Tajulzairi.

Dipetik dari Berita Harian

0 Comments: