JAKARTA – Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) sering menghadirkan gerun buat pemain pasukan lawan setiap kali berdepan skuad Indonesia di gelanggang keramat itu.
Namun, berlainan pula dengan penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang langsung tidak gentar untuk menguasai GBK pada aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 malam esok.
Jika rakan gandingannya, Mohd. Safee Mohd. Sali menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang bertuah dengan meledak dua gol ketika membenam Indonesia 3-0 pada aksi final pertama kelmarin, Nor- shahrul ada misi tersendiri pada aksi kedua ini.
“Bagi seseorang penyerang, selagi tidak dapat menjaringkan gol, selagi itu kita tak berasa puas. Samalah seperti saya yang baru menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan ini.
“Salah satu gol tersebut dijaringkan di GBK ketika kita tewas 1-5 pada aksi pertama peringkat kumpulan. Mungkin saya lebih ada ‘feel’ untuk menjaringkan gol di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hotel Sultan, Jakarta semalam.
Norshahrul, 24, bagaimanapun tetap memainkan peranan penting mencipta gerakan untuk dua dari- pada tiga gol Malaysia pada aksi final pertama malam kelmarin.
Dia berjaya menggelecek pemain pertahanan lawan menerusi gerakan di penjuru kanan padang sebelum melorongkan bola untuk Safee menjaringkan gol pertama dan Ashari Samsudin untuk gol kedua.
“Saya cuba memasuki kotak penalti dari penjuru kanan dan kiri. Tapi nampaknya gerakan dari penjuru kanan lebih berhasil dengan dua gol berjaya dicipta,” jelasnya.
Sementara itu, pada sidang media selepas perlawanan kelmarin, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal telah menamakan Norshahrul sebagai pemain terbaiknya sepanjang kejohanan tersebut.
Kata Rajagobal: “Semua pemain terlibat membawa kejayaan pasukan. Tetapi Norshahrul layak menjadi pemain terbaik kejohanan. Dia telah melaksanakan segala tugasnya dengan baik.”
Namun, Norshahrul sendiri enggan terlalu berharap untuk memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Suzuki AFF 2010 biarpun sebelum ini dia telah memenangi anugerah MVP bagi Liga Malaysia 2010.
“Insya-Allah kalau ada rezeki. Siapa yang tak mahu menang anugerah ini. Jadi saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik pada final kedua nanti bagi memastikan kejuaraan mutlak milik Malaysia,” ujar Norshahrul.
0 Comments:
Post a Comment