Thursday, January 20, 2011

Abang Sahkan Ana Rafalli Sudah Ada Kekasih


LANGKAWI: Pemenang tempat pertama Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25), Anna Raffali (gambar) sudah mempunyai kekasih yang dikenalinya sebelum bergiat aktif dalam penulisan lagu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh abangnya, Harris yang turut dimaklumkan oleh Ana mengenai hubungan istimewa tersebut.

“Saya tahu dia sedang berkawan dengan seseorang. Sebagai abang saya tidak kisah asalkan dia pandai jaga diri dan tidak leka," katanya kepada mStar Online ketika sama-sama menyertai Program Santai@Langkawi anjuran majalah pelancongan, Santai, di sini, baru-baru ini.

Menerusi program selama tiga hari itu, Ana telah bertemu peminat-peminatnya di sambil membuat beberapa persembahan.

Sementara itu Ana yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku memberitahu, walaupun sudah agak lama mengenali lelaki tersebut tetapi hubungan mereka masih pada peringkat masih mengenali hati budi masing-masing.

Katanya, lelaki itu memahami kerjayanya sebagai seorang artis serta menyokong setiap aktiviti seni yang dilakukan.

"Sehingga kini kami masih berkawan dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Dia faham kerjaya saya," katanya.

Sambil berseloroh Ana berkata, tidak salah mereka berkawan tetapi asalkan “jangan pegang-pegang”, merujuk kepada lagu popular duetnya dengan Sohaimi Meor, iaitu lagu Kalau Berpacaran.

Selepas memegang status juara AJL25, dengan menggondol wang tunai RM35,000, Ana berkata kehidupannya masih sama seperti dahulu tetapi berubah dari segi penghargaan daripada mereka yang meminati lagu dan muzik yang diperjuangkan.

"Mencipta lagu adalah minat saya, saya mahu karya saya dekat dengan jiwa mereka yang mendengarnya.

"Selepas menang AJL25 lebih ramai yang nak bergambar dengan saya dan sudi beli album. Peminat di Facebook juga bertambah," katanya yang bersyukur dengan perkembangan itu.

Wednesday, January 19, 2011

Kelibat Vanidah, Rashidi di mahkamah cetus persoalan

KUALA LUMPUR: Kelibat pasangan juara program realiti Sehati Berdansa musim pertama Vanidah Imran, 38, dan suaminya, Rashidi Ishak, 38, yang tiba-tiba muncul di Mahkamah Syariah di sini, menimbulkan tanda tanya orang awam dan media yang berada di mahkamah, semalam.

Pasangan artis itu yang turut ditemani seorang wanita tiba di mahkamah pada kira-kira jam 12.45 tengah hari dilihat terus memasuki kaunter pendaftaran kebiasaannya bertujuan untuk memfailkan kes berkaitan hal kekeluargaan seperti perceraian, tuntutan nafkah dan jenayah. Selepas hampir 15 minit berada di dalam, pasangan itu bersama wanita terbabit dilihat keluar dari kaunter berkenaan.


Bagaimanapun usaha mendapat komen daripada pasangan selebriti itu gagal apabila Rashidi atau lebih dikenali dengan nama Shidi yang berkemeja putih kelihatan terkejut dan berang gambarnya diambil.

Dia bersama isterinya Vanidah yang berpakaian serba hitam dan berkaca mata hitam dilihat meninggalkan mahkamah sambil berpegangan tangan.


Bagaimanapun, difahamkan kehadiran pasangan itu bertujuan menemani saudara mereka yang mempunyai urusan di kaunter berkenaan.


Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua anak berusia lapan dan lima tahun.


Sementara itu, sumber rapat pasangan itu yang enggan identitinya didedahkan menyifatkan berita aktres jelita dan suaminya hadir ke mahkamah adalah sesuatu yang mengejutkan. “Vanidah menjalani penggambaran sebuah program televisyen di Melaka pada Khamis hingga Sabtu lalu. Malah, dia datang bersama suaminya dan Rashidi turut menemaninya hingga Sabtu. Cuma Rashidi bergegas pulang semula ke Kuala Lumpur pada petang Jumaat kerana ada temu janji penting dan kembali menemani Vanidah pada sebelah malamnya. “Mereka bukan saja bermalam bersama, malah sepanjang penggambaran dilakukan, Rashidi sentiasa setia menunggu isterinya dan mereka banyak menghabiskan masa bersama. Mengenali Rashidi yang mesra dan gemar berjenaka, mereka tampak biasa dan tidak henti mengusik antara satu sama lain.


“Mana tidak terkejut apabila mendengar berita ini kerana saya tidak nampak pula sebarang masalah atau tanda yang memperlihatkan pasangan itu sedang menyembunyi kemelut kerana sepanjang penggambaran diadakan, kedua-duanya mesra dan romantik,” katanya. Sementara itu laman sosial peribadi, Twitter milik Vanidah turut tidak memperlihatkan sebarang masalah kerana masih melayan peminat serta teman-teman yang bertanya khabar.


sumber: harian metro

Saturday, January 15, 2011

Rabecca Nur Islam Selamat Jadi Isteri


Rabecca dan suaminya Nor Azam Datuk Sulaiman selepas diijabkabulkan.

AMPANG: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam, 25, mengakhiri zaman bujangnya apabila selamat diijabkabulkan dengan seorang peguam, Nor Azam Sulaiman, 43,Jumaat.

Pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang, Muhammad Ibrahim pada majlis ringkas yang berlangsung di kediaman mereka di Ukay Perdana, di sini kira-kira pukul 9.40 malam.

Pasangan pengantin tiba pada pukul 9 malam bersama 13 dulang hantaran bagi pihak lelaki dan 15 dulang dibalas oleh pihak perempuan.

Rabecca yang menjalinkan hubungan percintaan sejak tiga tahun lalu itu melangsungkan acara pertunangan setengah jam lebih awal sebelum diijabkabulkan.

Dia turut menerima mas kahwin RM333.33 manakala wang hantaran dirahsiakan.

Kedua-dua mempelai mengenakan pakaian berwarna putih rekaan pereka fesyen terkenal Calvin Thoo manakala solekan dan dandanan oleh Saidatulnisa Aminuddin.

Pasangan mempelai itu akan berbulan madu di London dan Paris selama dua minggu pada 14 Februari depan.

Majlis pernikahan mereka dihadiri kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ibu bapa, keluarga dan sanak saudara terdekat kedua-dua belah pihak.

Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan pada Sabtu (hari ini ) untuk rakan-rakan dan pihak media di Hotel Flamingo, Ampang berkonsepkan Inggeris.

Sementara majlis resepsi untuk keluarga pula akan diadakan di Menara Kuala Lumpur pada Ahad (esok).


sumber: mStar Online

Kad Kahwin Ayu Raudhah & Zaquan Mula Diedar


Inilah kad undangan perkahwinan Ayu Raudhah dan Zaquan Adha yang sudah diedarkan kepada pihak media sejak Selasa lalu.

PETALING JAYA: Ikatan pertunangan antara pelakon Ayu Raudhah, 26, dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 24, yang berlangsung pada 17 Oktober 2010 akan berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan pada 21 Januari ini di Alor Setar, Kedah.

Ayu menjangkakan kira-kira 600 hingga 700 orang akan di undang untuk menghadiri majlis resepsi selepas nikah yang akan berlangsung di Taman Mawar, Jalan Tun Abdul Razak, Alor Setar pada pukul 7.30 malam hingga 11 malam, hari yang sama.

Pasangan itu mula mengedarkan kad perkahwinan berwarna kelabu kepada pihak media bermula Selasa lalu.

MStar Online turut menerima kad jemputan perkahwinan berkenaan yang berwarna kelabu. Di luarnya diikat dengan riben berwarna merah jambu sambil tertera nama Zaquan dan Ayu dengan lambang hati. Ia menandakan kasih sayang dan gelojak cinta mereka yang disimpul utuh.

Pelakon drama Nur Kasih dan Manjalara ini akan mengenakan pakaian pengantin rekaan pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Qudyn, Calvin Thoo dan Man Kajang. Selain itu, wajah jelitanya akan diserikan dengan solekan oleh Amy Janz.

Sementara majlis sambut menantu (sebelah lelaki) dijangka berlangsung pada 30 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan.

Saturday, October 2, 2010

Fasha berani tunjukkan cinta


GAYA pasangan romantik Fasha dan Jejai di Restoran Bora Ombak, Ampang semalam.


KUALA LUMPUR - Setelah tiga bulan mendiamkan diri, pasangan kontroversi Fasha Sandha dan Rizal Ashram Ramli muncul bersama di khalayak umum semalam.

Lebih menarik, Rizal, 33, yang merupakan bekas suami aktres Nora Danish menemani Fasha dalam mood sangat mesra pada satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Fasha sendiri.

Kemunculan mereka di Restoran Bora Ombak, Ampang itu mengesahkan desas-desus bahawa Fasha sememangnya ada niat mahu bersuamikan Rizal yang lebih mesra dengan panggilan Jejai.

Malah sudah menjadi cakap-cakap di kalangan teman rapat bahawa Fasha memang mahu bersuamikan Jejai sebelum anak bekas Menteri Besar Perak itu berkahwin dengan Nora lagi tetapi hubungan mereka mendapat tentangan keluarga.

Semalam pasangan romantik itu menyedari kehadiran mereka menarik perhatian sekumpulan wartawan yang dijemput ke majlis itu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Tuesday, October 27, 2009

Akhil Hayy: Hanya dakwah, saling mengingati

PUTRAJAYA: “Apa yang saya luahkan (amalan ajaran sesat di kalangan artis) atas dasar dakwah dan saling mengingati sesama golongan artis dan tiada niat untuk menunjukkan saya ini ‘suci’ berbanding orang lain.

“Saya juga manusia dan tidak menafikan ada melakukan kesilapan, tetapi saya mahu melihat kehidupan golongan artis diperbaiki agar berada di landasan sepatutnya,” kata penceramah dan pengacara rancangan ilmiah televisyen, Akhil Hayy, semalam.

Menurutnya, walaupun niatnya ikhlas untuk berbuat kebaikan sesama artis, dia akur jika ada di kalangan penggiat seni sukar dan tidak mahu menerima hakikat cabaran baik dan buruk dalam dunia itu.

Akhil berkata, dia bukan bercakap berdasarkan nafsu, tetapi satu peringatan bukan untuk dirinya, malah untuk rakan artis supaya berwaspada dan tidak tergelincir sehingga membawa kepada jurang kesesatan.

“Sebenarnya, saya tidak menuduh mana-mana pihak tapi berdasarkan kepada pengalaman sepanjang terbabit dalam dunia artis yang penuh cabaran.

“Bagi saya, apabila membabitkan soal akidah, ia bukan tanggungjawab saya saja, tapi juga tanggungjawab semua umat Islam termasuk juga artis yang juga ikon masyarakat.

“Sebagai ikon, kita perlu menunjukkan contoh dan teladan baik supaya mampu melahirkan masyarakat yang memiliki nilai murni,” katanya.

Dia mengulas kritikan penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, yang tidak selesa dengan kritikan Akhil terhadap segelintir golongan artis yang kononnya menjadi tali barut ‘guru ghaib’ bagi menyebarkan ajaran sesat.

Akhil berkata, dia tidak mempunyai niat tersirat atau mencari publisiti murahan, tetapi hanya mahu mengingatkan rakan artis mengenai pentingnya memberi perhatian terhadap soal akidah.

Menurutnya, memang kebanyakan umat Islam mengaku Islam, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman kepada Allah.

“Jika mereka tidak salah mengapa perlu hendak memarahi orang lain dan saya tetap perlu melakukan kebaikan walaupun terpaksa menghadapi banyak cabaran.

“Saya meminta golongan artis yang terasa `pedas’ dengan `cili’ yang diberikan supaya melihat nasihat itu dengan mata hati dan cuba berprasangka baik yang mungkin boleh membawa kebaikan kepada mereka,” katanya.

Akhil berkata, sebagai umat Islam, dia tidak mahu kehidupan artis masih dibelenggu dengan konsep `lu lu’ dan `gua gua’ yang sebenarnya tidak dianjurkan Islam.

Menurutnya, walaupun tidak menafikan rasa tidak senang segelintir artis, dia mengakui masih ada artis yang celik dan menerima nasihat diberikan dengan hati terbuka.

“Saya masih melihat ada artis yang mempunyai kekuatan untuk melihat kebaikan hendak kita sampaikan,” katanya.

Oleh itu, dia berharap mesej yang cuba dibawa kepada masyarakat artis perlu diberikan perhatian kerana mereka adalah ikon masyarakat yang mempunyai ramai pengikut.

Jangan sibuk! Wahai Akhil Hayy




PUTRAJAYA: Bengang dengan kritikan Akhil Hayy, penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, mahu penceramah itu tutup mulut dan mencermin diri sendiri sebelum cuba mentarbiah artis yang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat.

Malah, penyanyi kumpulan Wings itu mengakui telinganya ‘panas’ apabila mendengar nama artis berkenaan dan memberi amaran kepada Akhil supaya tidak lagi bercakap mengenai dunia artis atau mengaitkan golongan itu dengan sebarang bentuk ajaran sesat.

Awie mendakwa gelaran ‘ustaz’ yang diberikan masyarakat terhadap Akhil tidak wajar kerana penceramah itu sepatutnya mencerminkan kredibiliti dirinya terlebih dulu.

Tanpa berselindung, Awie mempertikaikan kewibawaan Akhil untuk mentarbiah golongan artis berdasarkan kredibiliti kehidupan rumah tangganya yang boleh dipertikaikan bukan saja di kalangan penggiat seni, malah masyarakat umum.

“Jangan ingat golongan artis tidak mengetahui kehidupan dunia dan akhirat.

“Apa saja yang dilakukan manusia di bumi ini hanya Allah yang tahu, tidak salah untuk ingat-mengingati,” katanya, semalam.

Awie yang popular dengan lagu Sejati mengulas dakwaan Akhil Hayy bahawa ada segelintir artis yang sudah ada nama menggunakan kedudukan mereka mempengaruhi artis lain supaya melakukan maksiat selain mempermudahkan Islam.

Malah, penceramah muda dan pengacara sebuah rancangan ilmiah itu turut mengakui ada artis membenarkan gejala bersekedudukan dan berzina dengan alasan apa yang dilakukan sudah ditentukan Allah selain manusia (artis) mempunyai ruang dan masa untuk bertaubat.

Akhil turut menyentuh mengenai ajaran sesat artis terbabit yang dipercayai menjadi pegangan melalui ajaran pelik dipercayai diperoleh daripada ‘guru ghaib’ yang sukar untuk dikesan.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Awie berkata Akhil perlu mencermin dirinya dulu yang sebelum ini turut terpalit dengan dunia glamor.

Awie berkata, kehidupan artis yang menjadi ‘public figure’ memang sentiasa disuluh lampu terang yang semestinya mahu memperlihatkan kecantikan yang dimiliki dalam sinaran cahaya berkenaan.

Walaupun mengakui ada artis yang tergelincir (terbabit dengan kegiatan maksiat), Awie mempertikaikan mengapa hanya golongan itu dikaitkan dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral, termasuk ajaran sesat.

“Sebagai artis kita fokus terhadap apa yang hendak kita lakukan dan tidak berdiri di pentas ceramah sambil memaki dan mencerca orang lain,” katanya

Awie turut mendakwa penceramah terbabit pernah memperlekehkan lagu Sejati mengikut selera sendiri ketika berada di pentas ceramah.

“Saya meminta penceramah muda ini supaya tidak menilai seseorang itu secara melulu dan melalui ‘kulit’ saja, kerana ada ketikanya ada individu mempunyai ‘kulit’ yang baik, tetapi sebenarnya busuk di dalam.

“Dia baru setahun jagung dalam dunia artis dan terlalu mudah serta sewenang-wenangnya mahu menilai kehidupan artis sekarang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat,” katanya.