Thursday, January 20, 2011

Hafiz tidak ‘cintakan’ BAM



HAFIZ mengakui untuk keluar daripada BAM.


SUDAH tidak ada ‘cinta’ lagi dalam diri pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Hafiz Hashim terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Buktinya, Hafiz sendiri mengakui yang dia kini sedang dalam perancangan untuk meninggalkan badan induk sukan badminton tanah air itu.

Belum pun kemelut peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek selesai, bekas juara Terbuka Seluruh England 2003 itu pula menyatakan kesediaannya untuk keluar daripada BAM.

Bagaimanapun Hafiz menjelaskan, hasil perbincangan yang dilakukannya bersama BAM pada 25 Disember 2010 lalu, badan induk tersebut enggan melepaskannya.

Jelas Hafiz, BAM masih memintanya terus kekal bersama mereka sebagai persiapan untuk melepasi kelayakan ke Sukan Olimpik 2012 di London.

“Diakui, saya memang merancang mahu keluar daripada BAM dan perkara tersebut telah pun dibincangkan dengan mereka.

“Namun, sehingga kini masih belum ada kata putus dibuat mengenai perkara tersebut.

“Cuma...BAM meminta saya untuk terus kekal bagi melepasi kelayakan ke Sukan Olimpik tahun depan,” jelas Hafiz yang masih memiliki baki kontrak bersama BAM sehingga penghujung tahun depan.

Peliknya, kenyataan daripada Hafiz itu hadir selepas dia tewas ditangan pemain China, Chen Long pada aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Hafiz tewas straight set 21-14, 21-16.

Mungkin kekalahan tersebut yang mendorong Hafiz untuk mendedahkan perkara yang selama ini disimpan dalam hatinya itu kepada pihak media.

Warga media yang membuat liputan pada kejohanan itu semalam ternyata terkejut dengan keputusan Hafiz.

Namun, percaya ataupun tidak, itulah hakikatnya.

“Saya sudah tidak ada hati lagi dengan BAM. Jadi...tidak ada guna saya terus bersama BAM.

“Saya sendiri hairan mengapa BAM masih enggan melepaskan saya sedangkan saya tidak memberikan sebarang kejayaan dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini,” kata Hafiz yang kini telah menjangkau usia 29 tahun.

Andai hasrat Hafiz itu menjadi kenyataan, dia selepas ini akan bergerak secara ‘solo’ dan tidak menolak kemungkinan untuk beraksi bersama kelab-kelab badminton profesional luar negara.

“Saya tidak ada menerima apa-apa tawaran sebenarnya. Saya hanya mahu bebas tanpa bergantung daripada BAM,” ujarnya.

Mahu Angkat Kaki, Hafiz Minta Restu BAM

http://www.badzine.net/wp-content/uploads/News_beg09/Hafiz.HASHIM-04-MAS-AR-FrenchOpen2008.jpg

KUALA LUMPUR: Sejurus tewas kepada pemain pilihan ketiga dari China, Chen Long pada perlawanan pusingan pertama sebentar tadi (Rabu), pemain perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim membuat pengakuan mengejut dengan menyuarakan hasrat mahu bergerak secara bebas bersama kelab lain dan meminta restu daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya melepaskan pemergiannya.

Perlawanan yang berlangsung selama 39 minit itu menyaksikan Hafiz tewas 21-14, 21-16.

Menurut Hafiz, dia sudah menyuarakan perkara itu kepada Setiausaha Agung, Ng Chin Chai untuk diutarakan kepada BAM tetapi sehingga kini tiada kata putus diterima daripada badan induk tersebut.

"Saya ada bertemu Chin Chai pada Krismas lalu untuk berbincang mengenai perkara itu. Namun saya tidak tahu sama ada dia sudah sampaikan hal ini kepada Presiden BAM, Datuk Mohd Nadzmi Salleh," katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas tamat perlawanan.

Begitupun, bekas juara All England 2003 itu memberitahu dia sudah berbincang dengan BAM tetapi badan induk tersebut mahu dia kekal, memandangkan kontraknya masih sah sehingga Sukan Olimpik 2012.

"Saya mahu keluar secara baik. Oleh itu, saya meminta kebenaran daripada BAM untuk mencari kelab lain. Saya tidak mahu tindakan yang terburu-buru kelak menyebabkan saya digantung menyertai sebarang perlawanan oleh BAM," ujarnya.

Hafiz yang menyertai BAM sejak Mei 2008 turut mahu jawapan daripada BAM berhubung tindakan badan induk itu mengekalkan dalam skuad utama walaupun dia berdepan prestasi tidak menentu ketika ini.

"Saya tidak kisah jika mereka mahu saya kekal tetapi saya mahukan jawapan mengapa mereka masih mengekalkan saya sedangkan prestasi saya tidak konsisten," jelasnya.

Sementara itu, pada sidang media menjawab isu berkenaan, Chin Chai memberitahu sudah bertemu Hafiz selepas perlawanan tadi (Rabu) dan akan memutuskan perkara itu selepas mesyuarat exco BAM, Ahad ini.

"Keputusan Hafiz untuk keluar dari BAM tidak ada kena-mengena dengan isu lain. Dia cuma mahu mengubah angin dan beraksi lebih baik," jelasnya.

Bagaimanapun, Chin Chai berharap agar pemain berusia 29 tahun itu mempertimbangkan semula keputusannya untuk angkat kaki daripada BAM.

"Saya sudah bertemu dengannya sebentar tadi dan dia tetap menyuarakan hasrat untuk keluar dari BAM. Namun, saya mahu dia menilai semula keputusan sebaik-baiknya. Negara masih memerlukannya sehingga Sukan Olimpik, 2012," katanya.

Ditanya sama ada BAM akan menggantungnya daripada menyertai sebarang perlawanan andai dia tetap mahu angkat kaki, Chin Chai menegaskan segalanya terletak di tangan ahli exco dalam mesyuarat yang akan diadakan, Ahad ini.