Thursday, October 29, 2009

Toman Tak Kenal Ampun

Tasik Bersia dan Air Ganda di Grik, Perak ialah dua lokasi yang mencabar ilmu dan kemahiran pengail tegar. Tujuan mereka hanya satu iaitu ’menumpaskan’ ego sang toman.




TASIK Temenggor di Grik, Perak menyimpan pelbagai kisah yang sentiasa membuatkan hati pengail berkobar-kobar untuk mencampakkan umpan ke dada airnya yang tenang.

Namun, bukan Tasik Temenggor yang hendak diceritakan dalam lokasi memancing kali ini. Sebaliknya ialah lubuk pengail yang terbentuk daripada liku-liku sungai dari mulut empangan itu.

Kalau mengikut rantaian air yang berpunca dari Tasik Temenggor ke arah selatan, pengunjung boleh menemukan lokasi Tasik Bersia manakala lubuk pancing yang seterusnya ialah Tasik Air Ganda.

Betapa hebatnya tarikan kedua-dua tempat itu hinggakan ada yang sanggup menaiki bas dari Kuala Lumpur pada lewat malam untuk berkejar ke lokasi itu pada awal pagi. Lazimnya mereka akan turun di Ipoh dan seterusnya menukar bas lain untuk dibawa ke Grik.


ADA muslihat unik untuk menaikkan sebarau.


Dari pekan itu, mereka sudah punya kenalan untuk membawa mereka menyusur jalan ke Tasik Air Ganda.

Sama ada Air Ganda atau Tasik Bersia, habuan seperti sebarau, lampam, kaloi dan juga keli memang sentiasa bermain dalam fikiran. Kadang-kadang, keadaan boleh jadi panik dan kecoh bagi kumpulan pemancing yang berjaya menaikkan ikan pilihan masing-masing.

Lebih menggelikan hati sekiranya mendapati ikan yang panjangnya kurang sehasta boleh merentap joran hinggakan teroleng-oleng jadinya bot mereka.

Bercakap tentang respons ikan terhadap umpan, kaloi dikatakan lebih lembut ketika mula mencicip di hujung kail. Sifat Sebarau pula dikhabarkan lebih sukar diduga.

Mengikut seorang pemancing tegar, Alex Yeoh, warna umpan yang berkesan untuk sebarau ialah jingga. Katanya, umpan berekor warna GFR (Gold Fluorescent Red) adalah yang terbaik untuk digandingkan dengan joran fluorokarbon dan tali yang beratnya kurang 10 paun.


SEKALI-SEKALA mendapat kaloi boleh dianggap bertuah kerana ikan ini jenis yang 'pemalu'.


“Sebarau sangat pemalu, tetapi apabila tiba waktu makan, ia akan menyambar apa sahaja,” ujar Alex.

Bagi seorang lagi pemancing dari Kulim, Kedah, Harlina Hamid, dia sudah mempelajari satu tip untuk menaikkan sebarau di lubuk kegemarannya di Tasik Bersia.

Menurutnya, selain mengikut musim tertentu, pengail biasanya menunggu waktu pintu empangan di selatan Tasik Temenggor melepaskan airnya.

“Sebarau suka berlumba dengan arus. Ketika itulah bot pemancing akan mengikut arus air untuk menaikkan sebarau.

“Umpan akan dibaling dan sebarau ini seronok untuk meragut apa sahaja yang terlihat dalam pandangannya ketika itu,” ujar Harlina yang sering mengikuti rakan-rakan sepejabat menghilangkan tekanan kerja dengan memancing.

Namun, tiada yang lebih menggetarkan perasaan daripada membayangkan kuasa sentapan pada tali dan joran saat umpan diragut si penghulu air tawar iaitu toman.


SEGALA kelengkapan perlu diperiksa sebelum ke tengah tasik.


Menjadi ‘musuh’ pilihan pengail bagi lokasi sungai dan tasik, toman sememangnya tidak mudah mengalah tanpa melawan sehabis tenaganya.

Kata orang, selagi tidak dinaikkan, ia pasti menyukarkan pengail, khususnya yang tidak berpengalaman. Pendek kata, ia pantang menyerah dan tidak ‘mengampunkan’ sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Bagi pengail amatur atau yang datang buat kali pertama, mereka disarankan untuk ke Tasik Air Ganda terlebih dahulu untuk mengumpul pengalaman dengan toman. Di situ, saiz toman adalah lebih kecil berbanding yang terdapat di Tasik Bersia.

Lazimnya toman di Tasik Air Ganda adalah seberat 1 hingga 3 kilogram. Kalau berjaya menaikkan seberat kira-kira 5 kilogram, pengail itu sudah dianggap bertuah.


ALEX berbangga dengan hasil tangkapannya.


Toman di Tasik Bersia pula sudah diketahui mempunyai reputasi untuk mengganas.

Di tasik itu, toman tidak ‘melayan’ umpan buatan, sebaliknya naluri pemangsa ikan itu akan teruja apabila terlihat kelibat anak ikan keli.

“Sudah kira-kira empat kali saya ke Tasik Bersia. Kali pertama setahun yang lalu. Ketika itu saya hanya dapat toman seberat 1.8 kilogram. Saya juga sudah belajar daripada kesilapan iaitu tali sulam 20 paun tidak mampu menaikkan toman lebih besar,” ujar Alex.


TOMAN Tasik Bersia dikatakan lebih besar daripada toman yang menghuni Tasik Air Ganda.


Alex telah pun memperbaharui rekod peribadi dengan menaikkan toman seberat tujuh dan sembilan kilogram dengan tali 50 paun pada kunjungannya ke Tasik Bersia.

Kadar bayaran yang dikenakan untuk mengail di Tasik Air Ganda adalah RM150 bagi sebuah bot termasuk perkhidmatan tekong. Berbanding Tasik Air Ganda yang lebih komersial dan sudah menjadi tumpuan pemancing rekreasi, Tasik Bersia pula masih dianggap baru.


PEMANCING rekreasi bukan sekadar hendak mendapat habuan tetapi kedatangan mereka ke Tasik Bersia adalah untuk menghargai alam semula jadi.





Perkhidmatan bot dan tekong di Tasik Bersia masih bergantung kepada waktu dan budi bicara orang kampung yang berkelapangan. Kadar sewaan bot bersama tekong lazimnya dikenakan bayaran sebanyak RM250. Setiap bot boleh memuatkan dua pemancing bersama seorang tekong.

Oh ya, jangan lupa membawa topi yang selesa, krim perlindungan kulit, tuala kecil dan bekalan air dan kudapan yang mencukupi. Di kedua-dua tempat itu, anda mungkin menghabiskan banyak masa di tengah-tengah tasik sambil dibakar bahang matahari.

Sumber: kosmo online

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Jom_Singgah&pg=jo_01.htm

Wednesday, October 28, 2009

Awas! Puting Bayi


PENGGUNAAN puting bayi perlu dielakkan sejak peringkat awal lagi.


ADAKAH anak anda menggunakan puting bayi? Jika ya, anda mungkin perlu menghadapi kenyataan yang pahit hasil penemuan terkini bidang perubatan.

Kanak-kanak yang menggunakan puting bayi sebenarnya berisiko tiga kali ganda menghadapi kesukaran bercakap ketika usia mereka menjelang dewasa kelak.

Kajian saintis mendapati kanak-kanak prasekolah yang menggunakan puting bayi sekurang-kurangnya selama tiga tahun lebih cenderung mempunyai kesukaran membuat ucapan berbanding kanak-kanak yang langsung tidak menggunakan alat tersebut.

Penyelidikan tersebut turut membuktikan kanak-kanak yang menghisap jari juga menghadapi risiko lambat bercakap.

Kajian yang dijalankan sebelum ini oleh The American and Chilean adalah bagi mengetahui hubung kait antara tabiat suka menghisap ibu jari, penyusuan ibu dan penggunaan puting bayi bagi menenangkan bayi terhadap 128 orang kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun.

Mereka juga menggunakan ujian linguistik bagi mengenal pasti tahap normal perkembangan kebolehan bertutur dalam kalangan kanak-kanak tersebut terutama yang melibatkan sebutan dan bunyi huruf.

Menurut ketua penyelidik dari Universiti Washington, Dr. Clarita Barbosa, kanak-kanak yang menghisap jari, ibu jari atau puting bayi untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga tahun akan mengalami gangguan dari segi perkembangan bahasa dan pertuturan sehingga tiga kali ganda.


BOTOL susu juga berupaya mengganggu perkembangan kanak-kanak.


Berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu sehingga mencecah usia sembilan bulan dan langsung tidak menggunakan botol susu, risiko terhadap mereka amat rendah.

"Hasil ujian ini menjelaskan bahawa lebih lama penggunaan puting bayi, kesukaran untuk bertutur akan semakin meningkat," jelas Barbosa.

Tambahnya, walaupun keputusan ini memerlukan bukti yang lebih mendalam terutama melibatkan jangka masa penyusuan ibu, orang ramai harus melihatnya sebagai langkah berjaga-jaga.

Perdebatan mengenai penggunaan puting bayi tersebut telah lama merunsingkan ibu bapa kerana sesetengah kanak-kanak amat selesa menggunakan puting tersebut bagi menenangkannya.

Doktor gigi bagaimanapun berkata, penggunaan puting bayi pada keadaan tertentu berupaya mengubah pembentukan gigi apabila digunakan terlalu lama.

Kajian itu dilakukan oleh sebuah pasukan dari de Rehabilitacion Club De Leones Cruz del Sur dan Universiti Washington. Ia diterbitkan dalam jurnal BMC Paediatrics.

sumber: kosmo online

Tuesday, October 27, 2009

Akhil Hayy: Hanya dakwah, saling mengingati

PUTRAJAYA: “Apa yang saya luahkan (amalan ajaran sesat di kalangan artis) atas dasar dakwah dan saling mengingati sesama golongan artis dan tiada niat untuk menunjukkan saya ini ‘suci’ berbanding orang lain.

“Saya juga manusia dan tidak menafikan ada melakukan kesilapan, tetapi saya mahu melihat kehidupan golongan artis diperbaiki agar berada di landasan sepatutnya,” kata penceramah dan pengacara rancangan ilmiah televisyen, Akhil Hayy, semalam.

Menurutnya, walaupun niatnya ikhlas untuk berbuat kebaikan sesama artis, dia akur jika ada di kalangan penggiat seni sukar dan tidak mahu menerima hakikat cabaran baik dan buruk dalam dunia itu.

Akhil berkata, dia bukan bercakap berdasarkan nafsu, tetapi satu peringatan bukan untuk dirinya, malah untuk rakan artis supaya berwaspada dan tidak tergelincir sehingga membawa kepada jurang kesesatan.

“Sebenarnya, saya tidak menuduh mana-mana pihak tapi berdasarkan kepada pengalaman sepanjang terbabit dalam dunia artis yang penuh cabaran.

“Bagi saya, apabila membabitkan soal akidah, ia bukan tanggungjawab saya saja, tapi juga tanggungjawab semua umat Islam termasuk juga artis yang juga ikon masyarakat.

“Sebagai ikon, kita perlu menunjukkan contoh dan teladan baik supaya mampu melahirkan masyarakat yang memiliki nilai murni,” katanya.

Dia mengulas kritikan penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, yang tidak selesa dengan kritikan Akhil terhadap segelintir golongan artis yang kononnya menjadi tali barut ‘guru ghaib’ bagi menyebarkan ajaran sesat.

Akhil berkata, dia tidak mempunyai niat tersirat atau mencari publisiti murahan, tetapi hanya mahu mengingatkan rakan artis mengenai pentingnya memberi perhatian terhadap soal akidah.

Menurutnya, memang kebanyakan umat Islam mengaku Islam, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman kepada Allah.

“Jika mereka tidak salah mengapa perlu hendak memarahi orang lain dan saya tetap perlu melakukan kebaikan walaupun terpaksa menghadapi banyak cabaran.

“Saya meminta golongan artis yang terasa `pedas’ dengan `cili’ yang diberikan supaya melihat nasihat itu dengan mata hati dan cuba berprasangka baik yang mungkin boleh membawa kebaikan kepada mereka,” katanya.

Akhil berkata, sebagai umat Islam, dia tidak mahu kehidupan artis masih dibelenggu dengan konsep `lu lu’ dan `gua gua’ yang sebenarnya tidak dianjurkan Islam.

Menurutnya, walaupun tidak menafikan rasa tidak senang segelintir artis, dia mengakui masih ada artis yang celik dan menerima nasihat diberikan dengan hati terbuka.

“Saya masih melihat ada artis yang mempunyai kekuatan untuk melihat kebaikan hendak kita sampaikan,” katanya.

Oleh itu, dia berharap mesej yang cuba dibawa kepada masyarakat artis perlu diberikan perhatian kerana mereka adalah ikon masyarakat yang mempunyai ramai pengikut.

Jangan sibuk! Wahai Akhil Hayy




PUTRAJAYA: Bengang dengan kritikan Akhil Hayy, penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, mahu penceramah itu tutup mulut dan mencermin diri sendiri sebelum cuba mentarbiah artis yang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat.

Malah, penyanyi kumpulan Wings itu mengakui telinganya ‘panas’ apabila mendengar nama artis berkenaan dan memberi amaran kepada Akhil supaya tidak lagi bercakap mengenai dunia artis atau mengaitkan golongan itu dengan sebarang bentuk ajaran sesat.

Awie mendakwa gelaran ‘ustaz’ yang diberikan masyarakat terhadap Akhil tidak wajar kerana penceramah itu sepatutnya mencerminkan kredibiliti dirinya terlebih dulu.

Tanpa berselindung, Awie mempertikaikan kewibawaan Akhil untuk mentarbiah golongan artis berdasarkan kredibiliti kehidupan rumah tangganya yang boleh dipertikaikan bukan saja di kalangan penggiat seni, malah masyarakat umum.

“Jangan ingat golongan artis tidak mengetahui kehidupan dunia dan akhirat.

“Apa saja yang dilakukan manusia di bumi ini hanya Allah yang tahu, tidak salah untuk ingat-mengingati,” katanya, semalam.

Awie yang popular dengan lagu Sejati mengulas dakwaan Akhil Hayy bahawa ada segelintir artis yang sudah ada nama menggunakan kedudukan mereka mempengaruhi artis lain supaya melakukan maksiat selain mempermudahkan Islam.

Malah, penceramah muda dan pengacara sebuah rancangan ilmiah itu turut mengakui ada artis membenarkan gejala bersekedudukan dan berzina dengan alasan apa yang dilakukan sudah ditentukan Allah selain manusia (artis) mempunyai ruang dan masa untuk bertaubat.

Akhil turut menyentuh mengenai ajaran sesat artis terbabit yang dipercayai menjadi pegangan melalui ajaran pelik dipercayai diperoleh daripada ‘guru ghaib’ yang sukar untuk dikesan.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Awie berkata Akhil perlu mencermin dirinya dulu yang sebelum ini turut terpalit dengan dunia glamor.

Awie berkata, kehidupan artis yang menjadi ‘public figure’ memang sentiasa disuluh lampu terang yang semestinya mahu memperlihatkan kecantikan yang dimiliki dalam sinaran cahaya berkenaan.

Walaupun mengakui ada artis yang tergelincir (terbabit dengan kegiatan maksiat), Awie mempertikaikan mengapa hanya golongan itu dikaitkan dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral, termasuk ajaran sesat.

“Sebagai artis kita fokus terhadap apa yang hendak kita lakukan dan tidak berdiri di pentas ceramah sambil memaki dan mencerca orang lain,” katanya

Awie turut mendakwa penceramah terbabit pernah memperlekehkan lagu Sejati mengikut selera sendiri ketika berada di pentas ceramah.

“Saya meminta penceramah muda ini supaya tidak menilai seseorang itu secara melulu dan melalui ‘kulit’ saja, kerana ada ketikanya ada individu mempunyai ‘kulit’ yang baik, tetapi sebenarnya busuk di dalam.

“Dia baru setahun jagung dalam dunia artis dan terlalu mudah serta sewenang-wenangnya mahu menilai kehidupan artis sekarang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat,” katanya.

Monday, October 26, 2009

Kambing kepala dua jadi tumpuan



GAMBAR menunjukkan kambing kepala dua di Lumajang, Indonesia.


LUMAJANG, Indonesia - Seekor anak kambing berkepala dua milik seorang penduduk di sini, Muhammad Hasyim yang berumur 25 tahun menjadi tumpuan orang ramai yang sanggup pergi ke rumahnya untuk melihat haiwan itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Kambing betina berwarna putih yang diberi nama Melati itu dilahirkan oleh ibunya kelmarin dan mempunyai empat mata dan dua telinga.

Menurut Muhammad, semasa dilahirkan, ibu kambing itu berteriak dan meronta tanpa henti sehingga menyebabkan badannya kejang.

Dia berkata, selain Melati, ibu kambing itu turut melahirkan seekor anak kambing jantan yang mempunyai tubuh normal.

"Alhamdulillah, kambing saya masih lagi hidup," kata Muhammad yang memberitahu bahawa dia memberi haiwan itu minuman susu segar.

Menurutnya, kambing itu akan mengamuk jika ia diletakkan berjauhan dengan ibunya. - Agensi


sumber

136 maut serangan ganas di Iraq



SEJUMLAH penduduk Iraq berhimpun di lokasi serangan pengebom berani mati di Kementerian Keadilan di Baghdad semalam.


BAGHDAD - Dua pengebom berani mati menyerang Baghdad semalam menyebabkan 136 orang terbunuh manakala lebih 500 lagi cedera semalam.

Kejadian itu merupakan yang paling buruk pernah berlaku pada tahun ini.

Dua letupan merosakkan beberapa bangunan dan asap menjulang ke udara dekat Sungai Tigris .

Menurut polis, letupan pertama menyasarkan bangunan Kementerian Keadilan manakala beberapa minit kemudian pengebom kedua meletupkan diri di kawasan yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan tempatan.

Pejabat Perdana Menteri Nuri al-Maliki berkata, kejadian itu dilakukan bagi menunjukkan bahawa huru hara berlaku di Iraq.

Ia menyatakan serangan itu mirip kejadian yang berlaku pada 19 Ogos lalu terhadap Kementerian Luar dan Kewangan dengan tujuan untuk menjejaskan pilihan raya Januari depan.


ASAP menjulang dekat bangunan Kementerian Keadilan akibat serangan pengebom berani mati di Baghdad semalam.


"Kejadian itu merupakan tangan-tangan hitam yang sama berlumuran darah dengan rakyat Iraq," kata satu kenyataan daripada pejabat perdana menteri.

"Mereka (perancang serangan) mahu mencetuskan huru hara di dalam negara, menjejaskan proses politik dan menghalang pilihan raya parlimen," tambah kenyataan berkenaan.

Kejadian itu dianggap terburuk tahun ini kerana keganasan sudah berkurangan sejak Amerika Syarikat (AS) menghantar askar tambahan.

Namun, serangan-serangan masih berlaku di negara itu yang cuba untuk dibangunkan semula akibat konflik selain bersedia untuk menghadapi pengunduran askar-askar AS.

Beberapa pegawai Iraq menyalahkan negara jiran yang tidak didedahkan namanya kerana tidak menghalang serangan itu.

Namun, ia dipercayai merujuk kepada aduan pemerintah Iraq bahawa Syria menyediakan tempat perlindungan selamat untuk bekas-bekas anggota Parti Ba'ath yang pernah dipimpin oleh Saddam Hussein.


BEBERAPA anggota keselamatan dan orang ramai menolak sebuah kereta bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di Kementerian Keadilan Iraq, Baghdad

semalam.


Saddam digulingkan sebagai presiden Iraq oleh tentera AS dan sekutu-sekutunya pada 2003.

"Saya tidak mengetahui diri saya masih hidup. Letupan itu merosakkan apa sahaja," kata seorang peniaga, Hamid Saadi.

Tentera AS menyediakan pasukan forensik dan pakar-pakar bom untuk menyiasat kejadian itu.

Sumber-sumber polis menyatakan bom itu dibawa di dalam van yang dibawa oleh pengebom berani mati manakala terdapat pemberi maklumat memberitahu, sebuah trak dan kereta digunakan dalam serangan tersebut. - Agensi


sumber

Thursday, October 22, 2009

Didera, Dirogol, Diliwat, Dibunuh

KAJANG: Kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang lelaki Afrika didakwa sanggup mendera, merogol dan meliwat anak kekasihnya yang baru berusia tiga tahun sehingga kanak-kanak itu menemui ajal.

Malah, kekasih wanita terbabit yang juga seorang janda berusia 24 tahun tergamak bersekongkol dengan warga asing itu apabila sanggup berbohong dengan mereka cerita kononnya anaknya mati akibat didera pembantu rumah.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati fakta dalam keterangan diberikan wanita yang bekerja sebagai setiausaha itu meragukan sebelum merumuskannya sebagai pembohongan apabila mendapati wanita terbabit tidak pernah menggaji pembantu rumah yang didakwa melarikan diri sejurus selepas tragedi menyayat hati itu.

Sumber polis berkata, wanita rakyat tempatan itu dikesan menjalinkan hubungan dengan lelaki Sudan terbabit sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, lelaki warga asing itu sebelum ini memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar dan menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota.

“Bagaimanapun, lelaki berusia 24 tahun itu hanya belajar sebulan sebelum tinggal bersama kekasihnya iaitu wanita warga tempatan di sebuah kondominium di Batu 9, Kajang.

“Difahamkan, lelaki Afrika terbabit tinggal serumah dengan wanita tempatan itu yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun hasil perkahwinannya sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit yang kerap diminta menjaga kanak-kanak terbabit dipercayai sering memukul selain merogol dan meliwat mangsa terutama ketika ibunya tiada di rumah kerana keluar bekerja pada waktu siang.

“Namun, pada 12 Oktober lalu, ibu mangsa yang pulang ke rumah jam 9 malam terkejut apabila mendapati anak perempuannya koma dengan keadaan tubuh tidak bermaya.


“Wanita terbabit segera membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, namun mangsa dilaporkan mati akibat kecederaan serius terutama di kepala,” katanya.



Menurutnya, wanita terbabit yang membuat laporan polis susulan kematian anaknya, mendakwa kanak-kanak perempuan itu mati akibat didera pembantu rumahnya.



“Menurut wanita itu, pembantu rumahnya bagaimanapun melarikan diri sebaik dia pulang ke rumah sejurus kejadian. Namun, polis mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila siasatan mendapati suspek tidak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah asing.

“Malah, rasa curiga semakin kuat apabila hasil bedah siasat pihak hospital menemui kesan kecederaan pada kemaluan mangsa selain kesan sama pada dubur dipercayai akibat diliwat. Malah, tubuh dan muka mangsa dipenuhi kesan luka lama dan baru dipercayai akibat dipukul dengan teruk,” katanya.

Menurutnya, polis yang menyedari berlaku kes pembunuhan kejam terhadap mangsa bergegas ke kediaman suspek pada 13 Oktober lalu bagi melakukan pemeriksaan lanjut.


“Hasil beberapa bukti diperoleh, polis menahan pasangan kekasih terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, kedua-dua suspek mengaku melakukan penderaan terhadap kanak-kanak terbabit yang membawa kepada kematiannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood mengesahkan kejadian pembunuhan itu namun enggan mengulas lanjut.

“Perbuatan berkenaan amat kejam dan tidak berhati perut terutama terhadap kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Pihak polis akan melakukan siasatan secepat mungkin bagi memastikan individu yang melakukan jenayah itu mendapat hukuman setimpal,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.


Sumber: Harian Metro