Allah Ta ‘ala berfirman:
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [‘Ali Imran 3:31]
Ada beberapa hadis dalam bab ini, antaranya:
[1] Duduk bersila:
Jabir bin Samurah radiallahu-anhu berkata:
Adalah Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam setelah bersembahyang Fajar (Subuh), baginda duduk bersila di tempatnya sehinggalah terbitnya matahari yang indah (keputihan sinarnya).
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan lain-lain, dinukil dan dinilai sahih oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin (tahqiq & takhrij Shaikh Syu‘aib al-Arnuth; Maktabah al-Ma’mun, Jeddah 1996) – no: 821.
[2] Duduk di atas sebelah kaki manakala sebelah lagi diangkat dan dipaut dengan tangan.
Abdullah ibnu Umar radiallahu ‘anhuma berkata:
Saya melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam di halaman Ka’bah, beliau duduk dengan menegakkan kedua lututnya, (iaitu) dengan melingkar kedua tangannya ke sekeliling lututnya, dan ini cara duduk al-Qurfusaa’.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan dinukil oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin – no: 822.
Duduk al-Qurfusaa’ adalah duduk mencangkung di atas sebelah lutut manakala lutut yang lain dilipat dan diangkat ke atas dan dipautnya dengan tangan sehingga bahagian peha mendekati badan atau perutnya. [Lihat Al-Alamah Muhammad bin ‘Allan: Daliil al-Falihin li Thariq Riyadus Salihin (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), 3/272].
[3] Duduk bertinggung.
Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata:
Aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam duduk bertinggung sambil makan kurma.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim – no: 2044.
Duduk bertinggung ialah duduk di atas kedua tapak kaki dengan kedua-dua kaki berlipat dan punggung tidak menjejak tanah.
[4] Jangan duduk bersandar dengan sebelah tangan.
Syirrid bin Suwaid radiallahu ‘anhu berkata:
Rasulullah melintas di hadapan aku sedang aku duduk seperti ini, iaitu saya bersandar kepada tangan kiri saya yang saya letakkan di belakang. Lalu baginda bersabda: Adakah engkau duduk sebagaimana duduknya orang-orang yang dimurkai ?
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, dinukil dan dinilai sahih oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin – no: 824.
[5] Jangan duduk bersandar.
Abu Juhaifah radiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Jangan makan sambil bersandar.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan dinukil oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin – no: 746.
Yang dimaksudkan bersandar adalah seperti orang yang duduk miring ke lambungnya yang sebelah, sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang angkuh dan sombong. Cara duduk seperti ini ditegah oleh Rasulullah. Selain itu cara duduk sedemikian mengganggu kelancaran perjalanan makanan dalam badan, dari mulut ke perut. [Lihat Al-Alamah Ibnu ‘Allan: op. cit., 3/209].
Demikian beberapa petunjuk sunnah Nabawiyah dalam cara duduk. Selain itu dibolehkan duduk sepertimana kita duduk dalam solat, iaitu duduk di antara dua sujud dan duduk Tasyahud akhir.
0 Comments:
Post a Comment