Monday, October 19, 2009

Ciri-ciri Pengurus Sempurna

Perlu ditegaskan bahawa tujuan bekerja, berusaha, mentadbir atau mengurus dalam Islam adalah pelaksanaan tanggungjawab dan kewajipan untuk mendapatkan kesejahteraan dan kebahagian di dunia dan di akhirat. Untuk itu para pengusaha dan pengurus mesti memiliki ciri-ciri tertentu dalam melaksanakan tanggungjawab ini secara berkesan. Selain memiliki sifat-sifat yang lazim dibincangkan dalam pengurusan moden seperti berminat, tekun dan bersungguh-sungguh, pengurus sejati mesti memiliki ciri-ciri tanggungjawab serta mengamalkannya. Ciri-ciri tanggungjawab pengurus sejati ialah: beriman atau bertaqwa, berilmu dan berpengetahuan, berakhlak, adil dan ehsan.
Pengurus sejati atau pengurus Muslim mempunyai tanggungjawab yang wajib disempurnakan. Selain menunaikan kewajipan diri (fardhu ‘ain) dalam bentuk ibadah khusus seperti sembahyang, puasa dan berzakat, ia wajib juga berusaha mendapatkan rezeki yang halal sekurang-kurangnya untuk diri dan keluarga. Justeru itu Nabi bersabda yang maksudnya:
“Mencari yang halal adalah wajib sesudah yang wajib.”
Kewajipan pertama ialah menunaikan sembahyang manakala kewajipan kedua ialah bekerja mendapatkan rezeki yang halal. Sehubungan dengan ini, Allah berfirman yang bermaksud:
“Apabila selesai solat, bertebaranlah kamu ke seluruh pelusuk bagi mencari habuan Allah.”
Seterusnya peringatan Allah perlu dihayati sentiasa, iaitu:
“Peliharalah diri kamu dan ahli-ahli kamu daripada azab api neraka.”
Seterusnya di peringkat makro akan tercapai matlamat
“Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.”
Penghayatan segala peringatan daripada Allah dan Rasulullah adalah bergantung kepada tahap keimanan dan ketaqwaan setiap individu. Qur’an sebagai sumber ilmu yang utama dan pertama dalam semua tindakan Muslim wajib dirujuk dan dihayati sepenuhnya. Pengurus sejati pasti tidak ragu dengan keterangan-keterangan Qur’an dalam usaha-usaha pembangunan dan mencari kebahagian kakiki. Keterangan Allah pasti benar bahawa
“Kitab (al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya, jadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan sembahyang dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada (Kitab) yang diturunkan kepada engkau (ya Muhammad) dan (Kitab-Kitab) yang diturunkan sebelum engkau, dan lagi mereka yang yakin akan adanya Hari Akhirat. Mereka itu sesungguhnya berada di atas petunjuk Tuhan dan mereka akan memperolehi kemenangan.”

Prinsip-prinsip pengurusan Islam
Selain mendapatkan hak milik atau milik usaha yang sah ke atas sumber atau harta, pengurus sempurna hendaklah sentiasa memberi keutamaan kepada perkara-perkara berikut:

Mengutamakan penyuburan atau pemakmuran, dan bukan kerosakan dan pemusnahan
Kewajipan menyubur dan memakmurkan alam ini terkandung dalam firman Allah yang bermaksud:
“Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya”.
Pada masa yang sama dilarang melakukan kerosakan atau kemusnahan:
“Jangan kamu merosakkan bumi”.
Rasulullah juga sangat menggalakkan umatnya menyubur dan memakmurkan bumi dan jangan meninggalkan tanah-tanah terbiar. Baginda memberi pengiktirafan kepada orang-orang yang menghidup atau mengusahakan tanah-tanah mati atau terbiar dengan sabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang menghidupkan tanah mati, maka ia adalah baginya”.
Dalam hadis yang lain Baginda bersabda, maksudnya:
“Setiap muslim yang menanam sayur atau tanam-tanaman yang hasilnya dimakan oleh haiwan, burung atau manusia maka ia direkod sebagai ganjaran pahala bersedekah baginya”

Sekiranya firman Allah dan sabda-sabda Nabi itu dihayati oleh pemilik-pemilik dan pengurus-pengurus sumber, dunia Islam tidak akan menghadapi kekurangan makanan atau keperluan-keperluan asas yang lain sebagaimana yang dialami sekarang. Mereka yang dikurniakan dengan penghasilan yang melimpah dan berlebihan tidak akan bertindak memusnahkannya semata-mata kerana takutkan harga pasarannya akan jatuh.

Mengurus secara berhemat dan bukan secara rakus dan boros
Tindakan berhemat dapat mengurangkan risiko dalam pengurusan dan justeru itu boleh meningkatkan probabiliti kejayaan. Pengetahuan dan kemahiran teknikal seperti pengurusan kewangan, perakaunan, pengurusan risiko atau bidang-bidang lain yang berkaitan perlu digunakan dengan bijaksana. Tindakan-tindakan melulu dan rakus harus sentiasa dielakkan kerana tindakan-tindakan ini akan terdorong kepada pemborosan dan pembaziran. Sedangkan pemborosan dan pembaziran dilarang oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:
“….. janganlah kamu membazir (boros). Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu amat engkar akan Tuhannya.”
Kepekaan Rasulullah mengenai amalan berhemat khususnya berjimat cermat berlaku dalam semua keadaan. Baginda telah dilaporkan pernah menasihati sahabat Baginda daripada melakukan pembaziran sewaktu mengambil wuduk, walaupun menggunakan air sungai yang mengalir (Abdul Salam, 1996:38).
Termasuk dalam kategori pengurusan berhemat ialah berhati-hati daripada terjebak dengan perasaan bangga dan riyak di samping berhati-hati daripada menanggung risiko kewangan yang tinggi. Risiko kewangan berakhir dengan kerugian kewangan, sekiranya projek pembangunan terkandas. Risiko ini jelas dan dapat dilihat segera di dunia. Kerugian kewangan yang amat besar kadang-kadang mempengaruhi psikologi, mental malahan nyawa seseorang. Contohnya, kegawatan ekonomi yang berlaku pada tahun 1997 telah membawa padah yang amat besar ke atas negara-negara Jepun, Korea, Thailand dan Indonesia. Berpuluh-puluh orang pelabur di Jepun dan juga Korea telah membunuh diri akibat menanggung kerugian besar kesan kegawatan. Pemerintahan Suharto tumbang di Indonesia dan ratusan rakyat negara itu mati kerana rusuhan kesan kegawatan. Kesan kegawatan ekonomi tidaklah sedemikian dahsyat sehingga berlaku pembunuhan di Malaysia, tetapi tekanan mental dan psikologi pasti telah juga berlaku. Risiko berbangga dan riyak ialah kerugian di akhirat. Allah memberi peringatan bahawa segala amalan yang bertujuan berbangga dan riyak bukan sahaja akan tertolak atau sia-sia di akhirat tetapi akan menerima padah kecelakaan daripada Tuhan.

Mengutamakan kepentingan atau maslahah awam daripada kepentingan peribadi.
Islam yang bermaksud kesejahteraan semestinya amat menekankan aspek-aspek keselamatan dan kesejahteraan, lebih-lebih lagi apabila ada hubungan dengan masyarakat. Oleh kerana itu Islam menuntut supaya para pengurus sentiasa peka akan keselesaan dan keselamatan awam. Sebagai contoh kepekaan Nabi akan keselesaan masyarakat ialah apabila baginda memarahi individu yang membuang najis di tempat mandian, di jalanan dan di tempat-tempat berteduh (Abdul Salam, 1996:29). Sebaliknya individu yang membuang duri, batu atau tulang dari jalanan dimaklumkan sebagai memenuhi satu daripada tujuhpuluh cabang keimanan, dan individu itu diberi ganjaran pahala seperti pahala bersedekah [30] (Ibid.). Pada situasi yang lain baginda menasihati supaya berhati-hati apabila bermain api kerana menurut baginda “Api adalah musuh bagi kamu. Apabila kamu tidur, padamkan ia” (Abdul Salam, 1996:30).

Sentiasa mempunyai hasrat untuk beribadat menerusi pengurusan
Sebaik-baik bidang pengurusan sumber asli ialah yang menghasilkan sumber makanan asasi untuk diri dan penduduk, terus berjaya melaksanakan ibadah berzakat seperti zakat pertanian dan ternakan. Selain emas dan perak, sumber-sumber asli yang harus juga berjaya memenuhi syarat berzakat apabila ia diurus dan diusahakan sebagai bidang komersial.




0 Comments: