PUTRAJAYA: Bengang dengan kritikan Akhil Hayy, penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, mahu penceramah itu tutup mulut dan mencermin diri sendiri sebelum cuba mentarbiah artis yang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat.
Malah, penyanyi kumpulan Wings itu mengakui telinganya ‘panas’ apabila mendengar nama artis berkenaan dan memberi amaran kepada Akhil supaya tidak lagi bercakap mengenai dunia artis atau mengaitkan golongan itu dengan sebarang bentuk ajaran sesat.
Awie mendakwa gelaran ‘ustaz’ yang diberikan masyarakat terhadap Akhil tidak wajar kerana penceramah itu sepatutnya mencerminkan kredibiliti dirinya terlebih dulu.
Tanpa berselindung, Awie mempertikaikan kewibawaan Akhil untuk mentarbiah golongan artis berdasarkan kredibiliti kehidupan rumah tangganya yang boleh dipertikaikan bukan saja di kalangan penggiat seni, malah masyarakat umum.
“Jangan ingat golongan artis tidak mengetahui kehidupan dunia dan akhirat.
“Apa saja yang dilakukan manusia di bumi ini hanya Allah yang tahu, tidak salah untuk ingat-mengingati,” katanya, semalam.
Awie yang popular dengan lagu Sejati mengulas dakwaan Akhil Hayy bahawa ada segelintir artis yang sudah ada nama menggunakan kedudukan mereka mempengaruhi artis lain supaya melakukan maksiat selain mempermudahkan Islam.
Malah, penceramah muda dan pengacara sebuah rancangan ilmiah itu turut mengakui ada artis membenarkan gejala bersekedudukan dan berzina dengan alasan apa yang dilakukan sudah ditentukan Allah selain manusia (artis) mempunyai ruang dan masa untuk bertaubat.
Akhil turut menyentuh mengenai ajaran sesat artis terbabit yang dipercayai menjadi pegangan melalui ajaran pelik dipercayai diperoleh daripada ‘guru ghaib’ yang sukar untuk dikesan.
Mengulas lanjut isu berkenaan, Awie berkata Akhil perlu mencermin dirinya dulu yang sebelum ini turut terpalit dengan dunia glamor.
Awie berkata, kehidupan artis yang menjadi ‘public figure’ memang sentiasa disuluh lampu terang yang semestinya mahu memperlihatkan kecantikan yang dimiliki dalam sinaran cahaya berkenaan.
Walaupun mengakui ada artis yang tergelincir (terbabit dengan kegiatan maksiat), Awie mempertikaikan mengapa hanya golongan itu dikaitkan dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral, termasuk ajaran sesat.
“Sebagai artis kita fokus terhadap apa yang hendak kita lakukan dan tidak berdiri di pentas ceramah sambil memaki dan mencerca orang lain,” katanya
Awie turut mendakwa penceramah terbabit pernah memperlekehkan lagu Sejati mengikut selera sendiri ketika berada di pentas ceramah.
“Saya meminta penceramah muda ini supaya tidak menilai seseorang itu secara melulu dan melalui ‘kulit’ saja, kerana ada ketikanya ada individu mempunyai ‘kulit’ yang baik, tetapi sebenarnya busuk di dalam.
“Dia baru setahun jagung dalam dunia artis dan terlalu mudah serta sewenang-wenangnya mahu menilai kehidupan artis sekarang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat,” katanya.
0 Comments:
Post a Comment