Friday, October 1, 2010

Pangkor Laut Resort Lima Bintang

http://www.kosmo.com.my




DUA orang staf mengiringi kami ke Terminal Jeti Lumut, usai mendaftarkan nama di kaunter resort yang beroperasi berhampiran jeti berkenaan. Sebaik saja menyusun beg dan barangan di ruang hadapan bot, para penumpang ditegaskan memakai jaket keselamatan.

Enjin bot persendirian milik resort mula dihidupkan dan dengan pantas memecahkan kesunyian persekitaran jeti. Selepas memastikan para penumpang berada dalam keadaan yang baik, pemandu bot terus membelah lautan menuju ke destinasi penginapan impian.

Perjalanan selama 30 minit langsung tidak terasa. Masing-masing terlampau teruja dengan keindahan air laut, kehijauan flora dan pemandangan perkampungan nelayan di persisiran pantai. Rupa-rupanya keterujaan yang terbit dalam diri tidak terhenti di situ sahaja. Keseronokan untuk menerokai dan bersantai di sebuah resort mewah dan eksklusif milik YTL Hotels semakin membuak.

Benar, sesiapa saja pasti mengimpikan pengalaman percutian yang bebas dari hiruk-pikuk kota, malah bebas daripada bebanan kerja yang hanya mengusutkan kepala. Maka, Pangkor Laut Resort di Pulau Pangkor, Perak merupakan lokasi percutian yang paling ideal.




Memandangkan persekitaran resort ini hanya ditemani air laut, flora dan fauna yang secara tidak langsung menyuntik atmosfera percutian mempesonakan. Apatah lagi para pengunjung diberi kebebasan memilih jenis bilik dan vila mengikut cita rasa masing-masing.

Vila terapung

Kepada mereka yang merindui bunyi ombak jangan lepaskan peluang memilih Sea Villa yang berlantaikan air laut. Vila yang berkonsepkan ala perkampungan nelayan itu menjanjikan kedamaian yang sukar ditemui di bandar. Luangkan seketika masa menghirup kopi di ruang beranda yang menghadap laut.

Sementara itu, bagi pencinta pepohon hijau, Garden Villa, yang diperbuat daripada kayu membolehkan pengunjung mendekatkan diri dengan flora. Vila yang didirikan di lereng bukit itu dikelilingi rimbunan pokok-pokok.


LALUAN utama ke ruang lobi yang menyerlahkan elemen moden dan kontemporari.


Bukan sahaja lokasi penempatan vila dititikberatkan malah, dekorasi vila turut diambil kira. Biarpun tidak sarat dengan perabot mewah tetapi ruang dalaman vila masih di tahap cemerlang.

Susun atur dan konsep hiasan lebih cenderung kepada sentuhan Melayu kontemporari dan turut menyelitkan elemen ala Bali terutamanya di ruang yang menempatkan tab mandi.

Ini membuktikan Pangkor Laut Resort yang dirasmikan oleh Tun Mahathir Mohamad pada tahun 1994 itu berjaya mengabadikan keanggunan tradisi untuk tatapan para pengunjung resort.

Selain itu, jika mahu mengisi perut dengan seleksi menu yang lazat, restoran The Straits, Feast Village atau Fisherman’s Cove sedia menyajikan menu dan layanan terbaik. Pujian diberikan kepada kumpulan chef kerana berjaya menghasilkan masakan tradisi orang Malaysia seperti roti canai, kari ayam, laksa atau mi kari buat pengunjungnya terutama pelancong asing.

Pantai Emerald Bay

“Pangkor Laut Resort sememangnya penginapan percutian yang terbaik dan berprestij. Ia bukan sahaja menawarkan konsep bilik dalam persekitaran yang selesa dan bersih, malah menyajikan keindahan flora dan fauna yang memukau pandangan mata.


BAGI pasangan bercinta, meneroka Pulau Pangkor dengan bot ini pasti menggamit suasana romantis.


“Bagi saya tolak ke tepi soal harga jika kita mengidamkan percutian yang mengasyikkan. Tidak keterlaluan saya katakan layanan dan servis daripada kumpulan staf resort ini bertaraf antarabangsa,” luah Abdul Hafiz Hambali, 28, yang berpeluang menikmati percutian di Pangkor Laut Resort seluas 120 hektar selama tiga hari dua malam.

Tambah pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu, Pantai Emerald Bay yang diibarat kolam renang besar dan dikelilingi rimbunan pohon menghijau antara kawasan rehat paling menarik minatnya.

Air laut yang membiru di samping tiupan angin sepoi-sepoi bahasa memberi ketenangan kepada pengunjung yang mengambil kesempatan berjemur dan menatap bahan bacaan di atas buaian gantung yang diikat antara dua batang pokok.

Memandangkan Pantai Emerald Bay terletak hampir dua kilometer (km) dari resort dan perlu menyusuri kawasan hutan simpan yang berbukit- bukau, maka perkhidmatan van disediakan buat kemudahan pengunjung.

“Selesai bermandi-manda di Pantai Emerald Bay, jangan lepaskan peluang untuk menikmati keenakan makanan yang disediakan di bistro dan kafe yang dibina di tepi laut.

“Jika ingin melakukan aktiviti riadah bersama teman atau keluarga, pergi saja ke gelanggang bola tampar yang disediakan,” terang Hafiz yang terasa damai kala mendengar kicauan burung dan unggas hutan sambil merendamkan badan di dalam tab mandi tidak berbumbung di kamarnya.


SUSUR atur dan dekorasi bilik bercirikan Melayu tradisional.


Dasar laut Pangkor

Bagi pencinta dasar laut terokai keindahan hidupan laut dengan aktiviti snorkeling dan selam skuba, manakala pengunjung yang ingin meninjau sekeliling resort pilih saja aktiviti mendayung yang lebih seronok dilakukan bersama teman.

Selain itu, memahami tujuan utama pengunjung ke resort ini untuk berehat dan menikmati keindahan alam, Pangkor Laut Resort turut menyediakan dua buah kapal layar mewah untuk disewa. Ambil kesempatan tersebut melayari Selat Melaka dan gugusan pulau berhampiran sambil menyaksikan ikan-ikan berenang.

Kolam Infiniti yang menghadap laut jangan dibiarkan begitu saja. Nikmati pengalaman berenang sambil menyaksikan matahari terbenam di kaki langit.

0 Comments: