KUALA LUMPUR: Adik pelakon Umie Aida, Betty Rahmad, merupakan antara selebriti yang hadir ke sesi uji bakat Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) pada hari kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Sabtu.
Selain itu, kembar penyanyi Rini AF7 iaitu Zuzafrina Zulkifli (Rina), bekas peserta program realiti My Starz LG musim pertama, Ahmad Aliff Afif Tirmizie (Afif) dan bekas peserta One In A Million musim kedua, Shahron Hussein (Rony) turut mencuba nasib untuk menyertai program popular yang disiarkan di Astro Ria (saluran 104) ini.
Secara keseluruhannya, seramai 1,764 orang yang hadir ke sesi uji bakat di Kuala Lumpur selama dua hari iaitu pada Jumaat (686 orang) dan Sabtu (1,078 orang) yang diadili oleh tujuh orang juri iaitu Adlin Aman Ramli, Edrie Hashim, Cikgu Shafi, Cikgu Mimi, Cikgu Shahrul, Sharon Paul dan Aidit Alfian.
Menurut Betty yang hadir uji bakat buat kali kedua, dia menguatkan dirinya untuk mencuba nasib sekali lagi setelah dipaksa oleh rakan baiknya, aktres Nora Danish.
“Alang-alang sudah masuk AF yang terakhir, jadi apa salahnya saya mencuba di tambah pula dengan sokongan daripada kawan-kawan.
“Ada antara kawan-kawan saya mengatakan yang saya boleh menyanyi. Jadi, saya memilih lagu Matahari nyanyian Agnes Monica semasa uji bakat.
“Saya memilih AF kerana saya seronok melihat peserta sebelum ini yang belajar banyak perkara seperti kelas tarian, nyanyian dan lakonan serta tinggal di dalam satu rumah,” ujarnya yang pernah kandas semasa uji bakat AF2.
Betty merupakan seorang pelakon yang muncul dalam banyak drama seperti Pengantin Untuk Dijual dan Andalusia.
Sementara Rina yang telah bergelar penyanyi dan mempunyai single Rina Mana Satu tidak berputus asa untuk mencuba sekali lagi uji bakat terakhir ini walaupun pernah gagal semasa sama-sama hadir bersama Rini di uji bakat AF7.
Selepas gagal, Rina cuba membaiki kelemahannya dengan memantapkan vokal dan telah mempertaruhkan lagu Realiti Dewi nyanyian Alyah sebagai lagu pilihan uji bakat.
Dalam pada itu, Rony OIAM2 sekadar suka-suka menyertai uji bakat itu sekaligus menemani rakannya.
Berlainan pula dengan Afif My Starz LG1, dia nekad untuk bergelar peserta AF walaupun telah dua kali gagal dalam uji bakat AF yang lalu.
“Saya rasa jika menyertai AF, masa depan dalam bidang nyanyian lebih cerah dan menjadikan ia sebagai platform untuk mengembangkan bakat.
“Lagipun, AF merupakan program realiti nyanyian yang paling popular di Malaysia,” kata Afif.
Biarpun sesi uji bakat bermula pada pukul 9 pagi namun ada juga peserta yang hadir lebih awal iaitu pada pukul 8 pagi dan ia berakhir pada pukul 6 petang.
Uji bakat AF9 disambung pada Ahad, 13 Februari di lokasi dan waktu yang sama.
Pada 28 hingga 30 Januari lalu, uji bakat AF9 turut berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.
Selain itu, pihak produksi AF9 turut membuka peluang untuk uji bakat secara dalam talian yang telah berakhir pada 27 Januari lalu. Kira-kira 372 klip video nyanyian yang dimuat naik oleh para peserta menerusi laman sesawang rasmi AF9 iaitu www.akademifantasia.com.my.
0 Comments:
Post a Comment