Saturday, February 12, 2011

Mengaku Silap Cakap Lepas, A. Aida Mohon Maaf

A. Aida kesal dengan kenyataannya terhadap Sheera Iskandar dalam program Melodi, Ahad lalu.

KUALA LUMPUR: Penerbit drama A. Aida mengakui kesal dengan kenyataan kasar yang keluar daripada mulutnya terhadap pelakon Sheera Iskandar dalam program hiburan TV3 iaitu Melodi, Ahad lalu.

Menurut pemilik syarikat A. Aida Productions Sdn Bhd itu, keterlanjuran kata-katanya bertitik-tolak daripada kegagalan untuk mengawal emosi dengan tindakan Sheera yang memotong rambut sehingga menjejaskan kesinambungan drama bersiri Halimah Jongang terbitan syarikatnya.

"Saya kesal dengan kata-kata yang saya lemparkan terhadap Sheera dalam program Melodi, Ahad lalu. Saya tahu ia kedengaran kasar dan biadab namun percayalah ia berlaku kerana saya sudah tidak mampu mengawal emosi terhadap apa yang dia lakukan.

"Dengan rasa rendah hati, saya minta maaf kepada semua penonton seandainya kenyataan saya menyinggung mana-mana pihak," katanya dalam satu sidang media di Bangsar, di sini, Jumaat.

Mengulas mengenai ketegangannya dengan Sheera, Aida berkata, sudah lebih dua bulan dia memendam perasaan marah dan kecewa dengan sikap pelakon muda itu yang dirasakan seperti memandang enteng akan komitmennya terhadap drama bersiri itu.

"Saya tidak boleh nafikan perasaan marah ini masih belum reda sejak insiden itu berlaku dua bulan lalu. Mungkin ada yang menganggap saya terlalu beremosi hanya kerana isu potong rambut.

"Bayangkan jika anda berada di tempat saya. Sebagai penerbit, saya sudah melaburkan wang, masa dan tenaga untuk drama bersiri itu tetapi pelakon utamanya pula seolah-olah mengambil mudah tanggungjawab dan kontrak yang telah ditandatangani.

"Saya sudah banyak bertolak-ansur dengannya sebelum ini. Sepanjang tempoh penggambaran drama itu, saya tidak kisah pun apabila dia terlibat dengan penggambaran dengan produksi lain pada masa yang sama.

Tindakan dangkal Sheera yang memotong pendek rambutnya sehingga menjejaskan kesinambungan drama Halimah Jongang menjadi punca pergeserannya dengan penerbit drama itu.

"Namun, yang membuatkan saya marah apabila dia memotong rambut gara-gara komitmen filem lain sehingga mengganggu kesinambungan drama saya yang sepatutnya menjadi keutamaannya," tegas Aida.

Cuba meredakan ketegangan, Aida lantas ditanya mengenai responsnya jika pelakon itu datang menghubungi dan cuba meleraikan kemelut mereka pada masa akan datang.

Balas Aida, selepas apa yang berlaku dia masih tidak tahu apakah reaksinya jika perkara itu benar-benar terjadi.

"Sejujurnya, saya pun tidak pasti sama ada untuk memaafkan atau terus menyimpan kemarahan terhadapnya jika dia datang memohon maaf.

"Sehingga hari ini pun, saya tidak pernah bercakap dengannya. Sepanjang penggambaran bagi menamatkan baki 13 episod drama itu pun saya hanya berurusan dengan ibunya," katanya yang serik untuk bekerjasama dengan pelakon itu lagi pada masa akan datang.

Pergeseran di antara Aida dan Sheera berpunca daripada tindakan pelakon itu yang memotong rambutnya sehingga pendek gara-gara terlibat dengan filem Aku Bukan Tomboy arahan Syamsul Yusof.

Akibat daripada tindakan Sheera, ia bukan sahaja mencacatkan kesinambungan drama bersiri Halimah Jongang, malah penerbit itu turut dipanggil oleh pihak Astro kerana perubahan yang berlaku pada drama itu.

Source: mstar online

0 Comments: