Thursday, September 17, 2009

PENGURUSAN STRESS - SATU TINJAUAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


Disusun oleh: Aizil Azhar Ibrahim


STRESS MENGIKUT PANDANGAN ISLAM

Stress dari sudut bahasa ialah tekanan. Tekanan adalah suatu dari fitrah kehidupan manusia. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 155:


“Demi Sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Surah al-Baqarah, ayat 214:


“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahulah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”

Dalam ayat di atas Allah SWT mengingatkan kita bahawa dalam kehidupan kita tidak akan sunyi dari ujian dan kesusahan. Ia bukan saja telah dilalui oleh kita bahkan oleh umat terdahulu. Segala bentuk-bentuk ujian dan kesusahan itu akan membentuk tekanan-tekanan kepada manusia.


KESAN TEKANAN

Tekanan kadang-kadang memberikan impak positif dalam kehidupan manusia, contohnya membuatkan seseorang itu bekerja keras, membina daya kreativiti, membina keyakinan diri atau membentuk peribadi yang lebih mantap dan berdisiplin.

Tetapi sekiranya tekanan itu tidak dihadapi dengan baik atau berlebihan maka, ia akan memberi kesan buruk ke atas individu tersebut. Ia mungkin akan mengganggu emosi dan fizikalnya.

Sejauh mana seseorang itu dapat menghadapi tekanan tersebut, itulah ganjaran pahala yang akan diperolehi. Semakin besar tekanan yang dihadapi semakin besar nilai pahala di sisi Allah SWT. Iman juga akan bertambah dan berkurang dengan tekanan-tekanan yang pergi dan datang.

Firman Allah dalam surah Nahl, ayat 97:

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Jadi seorang Muslim yang cemerlang ialah Muslim yang berjaya mengahdapi setiap tekanan dalam kehidupan samada ia masalah kerja, kesihatan, keluarga, masyarakat dan negara. Kita tidak dapat lari ujian Allah SWT maka caranya sekarang kita belajar menghadapi tekanan.


PUNCA STRESS

Islam tidak melihat punca stress itu dari tekanan mental semata-mata. Bahkan punca tekanan itu sebenarnya berpunca dari kecelaruan dan kelemahan hati (qalb), ruh, nafsu dan akal.

1. Kelemahan Hati

Kelemahan hati yang menyebabkan rapuhnya hubungan individu itu dengan Allah SWT menyebabkan kehidupannya menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap inci masalah. Hati yang baik mempunyai unsur yang sangat halus (latifah), ketuhanan (rabbaniyah) dan kerohanian (ruhaniyah).

Manusia menganal Allah SWT dengan hatinya. Bukan dengan anggota badan yang lain. Hati adalah raja manakala segala anggota badannya yang lain hanyalah pelayan atau pengikut saja. Hatilah yang akan merasa bahagia bila dekat dengan Allah. Ia jugalah yang memperolehi kekecewaan dan kesengsaraan apabila ia ingkar kepada hukum Allah dan lalai serta leka dari mengingatinya.

Surah Taha, ayat 124:

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

2. Kelemahan Roh

Roh diberi istilah Jawahir, Nyawa dan Jiwa. Menurut al-Marhum Tuan Sheikh Muhammad Zain Minangkabau, erti ruh itu amar Allah.

Al-Isra’, ayat 85:

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.

Roh itulah yang menghidupkan jasad atau badan. Dalam Ilmu Tasauf mereka membezakan di antara roh dengan Nyawa. Nyawa adalah satu unsur yang halus yang ada pada setiap makhluk yang hidup samada manusia atau haiwan. Manakala roh pula merujuk kepada nyawa yanga da setiap Mukmin. Beza nyawa dan roh di sisi ilmu tasauf ialah roh mengenal Allah SWT manakala nyawa tidak.

Maka kekuatan roh itu dinilai dari sudut mengenali Allah SWT. Semakin ia kenal Allah, semakin kuat dan mantap ruh itu. Jika tidak jadilah ruh itu ruh yang lemah yang akan diganggu oleh iblis dan syaitan.

3. Pengaruh Nafsu

Al-Imam al-Ghazali, memberi pengertian al-Nafs itu sebagai satu unsur yang halus yang mana dialah hakikat manusia. Ia mempunyai bermacam-macam sifat dan bermacam-macam keadaan. Apabila kecelaan dan keburukkan menguasai hati itulah yang dikatakan nafs lawwamah atau nafs al-ammaratu bissu’.

Surah al-Qiamah, ayat 2:

“Dan aku bersumpah dengan ‘Nafsul Lawwaamah’ (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!

Surah Yusuf, ayat 53:


“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Apabila ketenangan, ketenteraman dan kejernihan menyelubungi hati itu, maka itulah yang diseru oleh Allah SWT dengan nafsul Muthmainnah.

Surah al-fajr, ayat 27-28:





(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nimat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! “Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia. “Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!”

Nafs muthmainnah mendorong hati melakukan segala kelakuan positif, rasional dan teratur. Inilah tingkat nafsu yang dikehendaki dalam Islam seperti mana di dalam ayat di atas, keadaan nafsu seperti ini adalah nafsu yang baik dan mendapat keredhaan Allah SWT.

4. Kelemahan akal

Imam al-Ghazali telah memberikan makna akal iaitu sesuatu yang memperolehi ilmu atau tempat pengetahuan. Kelemahan akal berpunca dari kejahilan atau sedikit ilmu seseorang. Para Hukama’ mengandaikan ilmu itu adalah makanan bagi akal. Tanpa ilmu akal akan mati. Akal yang mati tidak akan berfungsi dengan baik. Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya:

“Wahai anakku, duduklah kamu dengan orang-orang yang berilmu dan rapatkanlah lutut-lututmu dengan nereka, sesungguhnya Allah SWT menghidupkan hati (akal) itu dengan cahaya ilmu, sepertimana dihiudpkan bumi dengan air hujan.”

Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis:

“Sesiapa yang mempelajari ilmu-ilmu agama Allah azzawajal, maka Allah SWT akan mencukupkan segala keperluannya dan memberinya rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.” – hadis ini mempunyai sanad yang dhaif.


KAEDAH PENGURUSAN STRESS DALAM ISLAM

1) Tadabbur al-Qur’an:

Al-Qur’an merupakan cahaya, hidayah dan penyembuh bagi penyakit samada hati atau fizikal. Ia merupakan rahmat untuk sekalian alam. Dengan mentadabbur al-Qur’an yakni memahami, mendalami dan mententeramkan fikiran, hati dan jasmani.

Allah SWT telah berfirman dalam surah yunus, ayat 57:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Imam al-Ghazali telag membawa kaedah-kaedah supaya pembacaan al-Qur’an boleh memberikan yang maksimum. Antaranya:

1. Memahami al-Qur’an itu adalah percakapan Allah SWT.
2. Menggambarkan Keagungan Allah SWT dengan sifat dan Asma’Nya.
3. Menghadirkan hati dengan meninggalkan segala perkara yang dapat mengganggu konsentrasi dalam pembacaan.
4. Memikirkan erti al-Qur’an.
5. Cuba memahami maqasid atau tujuan ayat tersebut.
6. Menujukan segala ayat al-Qur’an itu pada diri sendiri.


2) Tafakkur:

Ia bermaksud merenung dan memikir dengan mendalam mengenai sesuatu. Proses tafakkur boleh dimulakan dengan berfikir tentang diri sendiri. Bertafakkur tentang segala nikmat yang telah Allah SWT berikan pada diri dari kesihatan, kesempurnaan diri. Kemudian boleh diluaskan kepada keluarga, masyarakat, negara dan alam ini.

Surah Luqman, ayat 20:

“Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin?”

Surah an-Nahl, ayat 18:

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kemudian bandingkan diri dengan masyarakat sekeliling, dan lihat betapa banyaknya nikmat Allah SWT ke atas berbanding orang lain, haiwan dan tumbuhan, renungkan sebesar-besar nikmat iaitu Islam dan Iman.

3) Banyakkan Sedeqah:

Iaitu memberikan sedeqah semata-mata kerana Allah SWT. Salah satu perkara yang menyebabkan jiwa tidak tenang kerana harta. Harta adalah kurniaan Allah. Orang yang bakhil dan kikir disempitkan oleh Allah SWT hati dan akhlaknya kerana mereka bakhil dengan kurniaan Allah SWT kepadanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 245:


“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

Nabi SAW telah menetapkan beberapa adab penting dalam bersedeqah supaya ia mampu memberikan keberkatan kepada orang yang bersedeqah. Antaranya:
1. Sedekah itu perlu diberi semata-mata kerana Allah SWT.
2. Sedekah ketika masih sihat.
3. Sedekahlah ketika seseorang itu merasa bakhil atau sangat sayang pada hartanya.
4. Sedekahlah ketika seseorang itu sedang mengimpikan dirinya menjadi kaya dan takut pada kemiskinan.
5. Sedekahlah tapi rahsiakanlah.
6. Sedekahlah tapi jangan bermegah atas orang yang menerima sedekah.


4) Taqarrub

Yakni mendekatkan diri kepada Allah SWT sehingga dapat mengenali Allah SWT, mematuhi perintahNya dan menjauhi laranganNya. Sehingga akhirnya dapat menduduki maqam seperti para solihin yang hampir dengan Allah SWT.

4.1 Hidupkan Malam Anda:

Iaitu bangun di tengah malam dengan meninggalkan segala kenikmatan tidur untuk menyembah Allah. Bahkan Rasul SAW dalam menerangkan kepentingan tahajjud, apabila seseorang itu bangun di tengah malam semata untuk mengingati Allah, dia bersusah payah berwuduk dan bersolat maka hatinya akan menjadi tenang dan dikuatkan jasmaninya.

Kisah penghuni syurga dalam Surah al-Dzariyyat, ayat 17:

“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.”


Sifat orang yang beriman itu ialah seperti yang digambarkan dalam Surah al-Sajdah, ayat 16:

“Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.”

Bangun malam adalah amat sukar kepada manusia. Bagi memudahkan bangun malam Imam Ghazali memberikan beberapa kaedah garis panduan. 4 perkara yang berkaitan dengan fizikal:
1. Jangan makan terlalu banyak.
2. Jangan melakukan aktiviti yang sangat berat hingga badan jadi letih untuk bangun tahajjud.
3. Tidur sebentar di siang hari.
4. Jauhkan dari perbuatan dosa pada siang hari kerana akan memberatkan hati untuk beribadat pada malam hari.

4 perkara yang berkaitan dengan rohaniah pula ialah:
1. Jauhkan diri dari perkara bid’ah dan jangan terlalu menyibukkan diri dengan urusan dunia di siang hari.
2. Timbulkan dalam hati perasaan khauf (takut) pada azab-azab Allah SWT dan jangan panjang angan-angan.
3. Berusaha mengetahui kelebihan-kelebihan bangun malam.
4. Suburkan dalam hati rasa iman dan cinta pada Allah SWT.

4.2 Banyakkan Berzikir:

Berzikir iaitu selalu mengingati Allah samada dengan lidah atau hati.

Surah al-Ra’ad, ayat 28:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

5) Husnu Dzon kepada Allah SWT:

Iaitu berbicara dan berkata dengan positif dan penuh pengharapan kepada Allah SWT. Ini kerana setiap lafaz yang diucapkan itu adalah doa dan sangkaan kita kepada Allah SWT.

“Sesungguhnya aku adalah sebagaimana sangkaan hambaKu”.

Al-A’raf, ayat 194:

“Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.”

6) Pengurusan

Iaitu kebijaksanaan dalam menguruskan masa, tenaga, keutamaan dan aset. Bahkan Allah SWT telah mengingatkan kita tentang beban kerja dan tanggungjawab itu perlulah sepadan dengan kemampuan kita. Bahkan kita diajarkan berdoa dari beban kerja yang berlebihan yang tidak mampu tanggung.

Surah al-Baqarah, ayat 286:


“Allah tidak memberati seseorang malainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Para hukama’ pernah berkata:
“Jangan kamu tanggung bola dunia itu di atas kepala kamu.”

7) Banyakkan Syukur kepada Allah SWT:

Berterima kasih kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali jangan mencari balasan atau mengharapkan ucaoan terima kasih dari orang lain kepada kita.

Surah al-Insan, ayat 9:

(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang dari kamu atau ucapan terima kasih.”

Surah Faathir, ayat 34:

“Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: “Sega puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat).

8) Tawakkal:

Berserah diri, menyerahkan natijah sesuatu perkara kepada Allah SWT setelah berusaha sedaya upaya, percaya kepada segala janjiNya. Ketika berjaya dia mengucapkan istighfar dan ketika gagal dia mengucapkan tahmid.

Al-‘Imran, ayat 173:

“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) ketika mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.

Terdapat beberapa unsur penting dalam tawakkal:
1. Seseorang itu menyedari bahawa Allah SWT yang memberi rezeki, kekuatan, keinginan dan tubuh badan yang sihat untuk dia berusaha meneruskan hidupnya di dunia ini.
2. Seseorang itu menyedari bahawa segala perbuatan dan tindakan, hakikat di sebaliknya adalah perbuatan Allah SWT.
3. Seseorang itu menyedari segala rezekinya itu datangnya dari Allah dan Allah jualah yang menggerakkan dia untuk mencari rezeki itu.



Kesimpulannya

Stress atau tekanan memang merupakan fitrah bagi manusia. Setiap dugaan yang datang adalah ujian dari Allah SWT bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah SWT. Islam telah menetapkan setiap manusia akan diuji bagi mencari calon yang terbaik bagi memenuhi syurga Allah SWT. Bagi seorang Mukmin itulah sebesar-besar ganjaran yang diimpikan.

Maka sebagai Mukmin kita perlu bersedia untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan kita. Kita bersedia dari segala sudut samada dari sudut ruhaniah, mental dan fizikal. Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 60:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya.”


Rujukan

1. Al-Qur’anul Karim

2. Iman al-Ghazali, Uhya Ulumuddin (terj.), 1998, Pustaka Nasional Pte. Ltd., Singapura.

3. Hj. Abd. Talib Naim, Mengenal Roh, 1974, Syarikat Doyan Shipping Sdn Bhd, Port Kelang.

4. ………, Stress: tekanan mental,
http://www.infoforyourhealth.com/Mental%20Health/stress.htm

5. ………., Menguruskan tekanan,
http://cgh.com.sg
http://www.cgh.com.sg/health_public/pamphlet/Malay/psymed/stress/stress-malay.html

6. ………, Tekanan Mental dan Pekerjaan,
http://www.Sabah.org.my/bm/nasihat/artikel_kesihatan/tekanan_mental.htm

7. Dato’ Aidit Bin Ghazali, Pengurusan Stress Mengikut Cara Islam,


0 Comments: