Sunday, January 2, 2011

Durian runtuh buat wira Terengganu



PARA pemain skuad bola sepak negara dijanjikan hadiah lumayan selepas memenangi Piala Suzuki AFF 2010, Rabu lalu.


ENAM anak Terengganu yang membantu skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini bakal memperoleh habuan lumayan daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu berkata, setiap daripada pemain itu akan menerima hadiah berupa sebidang tanah selain wang tunai sebanyak RM5,000.

Menurutnya, pemberian itu merupakan tanda penghargaan daripada kerajaan negeri di atas kesungguhan anak-anak kelahiran Terengganu yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, pemain-pemain yang akan menerima hadiah tersebut ialah Mohd. Ashari Shamsuddin dan Mohd. Sharbinee Alawee yang kini mewakili skuad Terengganu serta Norshahrul Idlan Talaha dari skuad Kelantan.

Tiga lagi pemain lain ialah dari skuad Harimau Muda A iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Faizal Muhammad dan Izzaq Faris Ramlan.

“Saya cukup terharu dan bangga dengan kejayaan kita menjuarai Piala Suzuki selepas menanti selama 14 tahun. Kita masih mampu menjaringkan gol sekali pun beraksi di hadapan ribuan penyokong Indonesia dan ia adalah satu kejayaan penuh bersejarah.

“Apa yang pasti, kejayaan ini turut melibatkan enam anak Terengganu dan kita (kerajaan negeri) telah bersetuju untuk memberi hadiah berupa sebidang tanah untuk tapak rumah dan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Ahmad lagi, pemberian sebidang tanah itu akan ditentukan mengikut daerah masing-masing dan majlis penyerahannya akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kalau pemain itu berasal dari Kuala Terengganu, maka kita akan carikan sebidang tanah di Kuala Terengganu. Begitu juga kalau dia berasal dari Dungun ataupun dari daerah-daerah lain.

“Kita lakukan semua ini kerana mahu menghargai jasa mereka pada ketika Terengganu kini merupakan antara kuasa utama sukan di Malaysia,” jelasnya lagi.

Rabu lalu, skuad kebangsaan yang dikemudi jurulatih K. Rajagobal mengakhiri kemarau 14 tahun dengan menjuarai juara Piala Suzuki 2010 selepas menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir dengan agregat 4-2.

0 Comments: