Sunday, January 30, 2011

Gobalakrishnan keluar PKR


KULIM 29 Jan. - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa hari ini.

Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, ketika menyertai parti pada 1999, beliau percaya ia mampu membawa perubahan kepada rakyat atas semangat reformasi yang diperjuangkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, selepas hampir 12 tahun bersama PKR, beliau mendapati parti semakin rosak malah tersasar jauh daripada asas perjuangannya kerana dikuasai pemimpin seperti Anwar dan Timbalan Presiden, Azmin Ali yang hanya berjuang atas kepentingan diri sendiri.

Katanya, selain Anwar, Azmin ialah individu yang membawa pelbagai kerosakan dan perpecahan dalam parti sehingga tidak lagi dilihat boleh membawa perubahan kepada rakyat.

"Terlalu banyak petunjuk termasuk dalam pemilihan parti baru-baru ini yang menunjukkan betapa PKR dirosakkan oleh Azmin. Berkali-kali saya bawa perkara ini kepada Anwar supaya semua kerosakan ini dibaiki tetapi nampaknya dia tidak boleh buat keputusan.

"Nampaknya Azmin yang lebih berkuasa. Kalau Anwar sendiri tidak boleh beri keadilan kepada ahli-ahlinya sendiri bagaimana dia mahu memberi keadilan kepada rakyat? Saya sudah tidak boleh bekerja dengan orang ini," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Gobalakrishnan sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan PKR terutama melalui laman sosial Twitter miliknya termasuk mendakwa Anwar dan Azmin sebagai pemimpin tidak demokratik selain terlibat dalam rasuah.

PKR awal bulan lalu juga mengemukakan surat tunjuk sebab atas tindakan Gobalakrishnan mengkritik kepimpinan tertinggi parti.

Gobalakrishnan yang juga bekas Setiausaha Pemuda MIC berkata, beliau selepas ini akan bergerak sebagai Ahli Parlimen Bebas sambil menegaskan tidak memihak atau menyertai mana-mana parti dalam Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, beliau dan beberapa rakannya akan menggerakkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru yang bermatlamat membantu masyarakat India khususnya di sekitar kawasan Padang Serai.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai pada pilihan raya umum akan datang dan bersedia berdepan mana-mana calon sama ada daripada BN atau pakatan pembangkang.

Ditanya sama ada beliau sudah menghantar surat peletakan jawatannya secara rasmi kepada parti, Gobalakrishnan berkata: "Sidang akhbar ini bagi saya sudah cukup rasmi, mereka akan tahu juga."

Menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan wujud persepsi bahawa beliau 'dibeli' untuk meletak jawatan dan menyertai BN, bekas Ketua Cabang PKR Padang Serai itu menegaskan ia tidak berlaku.

"Tidak, tetapi anda (pemberita) boleh tanya Anwar sama ada Gobalakrishnan orang yang boleh 'dibeli' atau tidak," katanya.

Gobalakrishnan juga memberitahu, beliau tidak akan menghantar sebarang permohonan rasmi berhubung kedudukan kerusinya dalam Dewan Rakyat.

"Saya lebih selesa duduk di kerusi yang ada sekarang. Ia dekat dengan tempat Anwar duduk, biarlah saya di situ supaya mudah saya bertanya soalan kepadanya di dalam Dewan kelak," katanya.

Mengulas lanjut, Gobalakrishan berkata, beliau meninggalkan MIC dan menyertai PKR pada 1999 kerana dijemput oleh Anwar kononnya untuk membantu masyarakat India tetapi ia sekadar perjuangan untuk kepentingan dirinya sendiri.

Sebaliknya, kata beliau, gaya kepimpinan Anwar menyebabkan masyarakat India kini berpecah-belah dan perkara sama dilakukan terhadap penduduk bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"Anwar melakukan pendekatan 'pecah dan perintah' dan kita boleh lihat bagaimana kepimpinan masyarakat Kadazan di Sabah dan Dayak di Sarawak berpecah-belah akibat pemilihan yang tidak demokratik.

"PKR sebenarnya ada peluang di Sabah tetapi peluang itu dirosakkan kerana Anwar mahu meletakkan orang Azmin di sana dan ini tidak membawa kebaikan kepada parti," jelasnya.

0 Comments: