KUALA LUMPUR, 17 Jan – Peguam yang didakwa meminta sebuah masjid di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam di sini memperlahankan azan hari ini menyifatkan ia salah faham yang diperbesarkan pihak tertentu.
Peguam tersebut, Ng Kian Nam, pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili penduduk di kawasan Pantai Dalam turut memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat negara ini terutamanya orang Islam.
Ng yang juga ahli seumur hidup MCA berkata, isu azan yang melibatkan Masjid Al-Ikhlasiah itu hanya salah faham dan sudah diselesaikan.
“Saya nak pohon maaf terhadap semua orang Islam kerana menimbulkan salah faham itu … sebenarnya saya tidak tahu bagaimana untuk membezakan antara azan dan kuliah subuh.
“Saya akui setiap orang ada kelemahan termasuk saya, saya tulis surat itu kerana tidak dapat bezakan antara azan dan kuliah subuh. Jadi saya pohon maaf secara terbuka sekiranya surat yang saya tulis telah timbulkan salah faham.
“Secara terbuka saya pohon maaf kerana telah berlaku kekeliruan dan salah faham ini,” katanya pada sidang media di pejabat Umno Lembah Pantai di sini.
0 Comments:
Post a Comment