Saturday, January 29, 2011

Sijil Cuti Sakit Suami:Sila Rujuk Doktor, Kata Cikgu Mala


LABIS: Calon PAS, Normala Sudirman mendakwa suaminya, Maarof Abdul Mutalib diberikan cuti sakit sehingga tempoh dua minggu berturut-turut disebabkan oleh masalah kemurungan akibat arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam ke sebuah sekolah di Johor Bharu sebelum ini.

Beliau berkata, bagaimanapun jika media berminat menyiasat lebih lanjut mengenai kesahihan sijil cuti sakit kepada suaminya itu, dinasihatkan bertemu terus dengan doktor yang berkenaan.

“Lebih baik media berjumpa dengan doktor yang mengeluarkan cuti sakit tersebut kerana sebagai doktor beliau lebih profesional dan tahu kenapa dan mengapa surat itu dikeluarkan kepada pesakitnya.

“Media kalau nak tahu lebih baik tanya pada doktor itu lebih baik dan ada ketelusan,” katanya kepada pemberita di Dataran Wayang Pacak di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan suaminya mendapat cuti sakit selama 21 hari daripada dua pusat kesihatan di Segamat namun pada masa yang sama Maarof sering didapati menemani isterinya sepanjang musim kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Dalam pendedahan yang dibuat oleh sebuah blog http://marahku.blogspot.com/ mendakwa suami calon PAS itu telah mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat-Labis, Johor.

Ia diikuti dengan cuti sakits selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh daripada pusat kesihatan yang sama.

Dalam salinan surat sakit tersebut, dimaklumkan Maarof yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen diberikan cuti sakit selama 2 minggu berturut-turut kerana beliau menghadapi masalah kemurungan yang serius.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala berkata, suaminya berdepan dengan tekanan yang hebat ketika mendapat tahu mengenai pertukaran yang diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Johor sebelum tindakan tersebut ditarik balik dalam tempoh 24 jam selepas itu.

“Ya, hal penukaran itu memberikan kesan di hati suami saya kerana pada hari yang sama juga anak saya dimasukkan ke wad,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana dengan keadaan suaminya ketika ini, Cikgu Mala berkata, emosi suaminya sangat stabil dan beliau juga menegaskan dirinya tidak langsung tertekan dengan isu sijil cuti sakit suaminya yang dijadikan bahan kempen dalam pilihan raya kali ini.

“Saya yakin dengan integriti pihak yang mengeluarkan sijil cuti sakit ini. Apa pun tohmahan atau fitnah yang tidak benar akan berbalik kepada orang yang menyebarkan fitnah itu. Insya-Allah, Allah akan memelihara saya daripada sebarang fitnah dan hasad dengki,” katanya.

Jelasnya isu serangan peribadi sudah tidak relevan untuk memancing undi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

“Isu ini telah disensasikan dengan kaitan peristiwa yang tidak berasas. Isu sakit ini perlu tanya kepada doktor,” katanya.

0 Comments: