Saturday, January 8, 2011

Sultan Kelantan, Mustapa Bantu 250 Mangsa Kebakaran



GUA MUSANG, 7 Jan (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammed Ke-V menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di kawasan setinggan di Jalan Sungai Chinda, di sini, Jumaat.

Sultan Kelantan menyampaikan bantuan berupa wang tunai, makanan dan peralatan keperluan harian kepada mangsa kebakaran itu di tapak kebakaran pada 5 petang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed turut menyampaikan bantuan wang ihsan RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa.

Sebaik selesai menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran itu, baginda meninjau kawasan kebakaran itu dengan diiringi Ketua Jajahan, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid dan Mustapa.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat penempatan sementara di Pusat Sivik Gua Musang.

Dalam kebakaran pukul 1 pagi, ketika penduduk kebanyakkannya sedang nyenyak tidur, 50 buah rumah kayu setinggan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Jalan Sungai Chinda hangus dan menyebabkan 250 penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Mustapa, ketika ditemui pemberita berkata beliau mahu pemimpin di peringkat jajahan ini mengambil langkah untuk menyediakan penempatan jangka panjang kepada mangsa terbabit.

Bagaimanapun, kata beliau buat sementara ini mereka dibenarkan tinggal di Pusat Sivik itu bagi memudahkan pelbagai pihak memberi bantuan termasuk makanan.

"Saya rasa sedih dengan nasib yang menimpa penduduk setinggan itu dan anggaplah ia sebagai ujian Tuhan yang perlu dihadapi bagi seseorang," katanya.

Mustapa berkata Kerajaan Pusat bersimpati dengan apa yang berlaku itu dan mengeluarkan peruntukan segera menerusi wang ihsan untuk mangsa kebakaran bagi meringankan beban mereka.

Katanya perancangan penempatan jangka panjang perlu dilakukan bagi mangsa terbabit untuk mengelakkan mereka terus hidup tertekan dengan masalah kehilangan tempat tinggal.

"Perkara itu kita serahkan kepada pemimpin dalam kawasan Parlimen Gua Musang untuk berbincang dan menetapkan keputusan terbaik bagi mengatasi masalah itu," katanya.



-- BERNAMA

0 Comments: