Thursday, January 20, 2011

Hafiz tidak ‘cintakan’ BAM



HAFIZ mengakui untuk keluar daripada BAM.


SUDAH tidak ada ‘cinta’ lagi dalam diri pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Hafiz Hashim terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Buktinya, Hafiz sendiri mengakui yang dia kini sedang dalam perancangan untuk meninggalkan badan induk sukan badminton tanah air itu.

Belum pun kemelut peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek selesai, bekas juara Terbuka Seluruh England 2003 itu pula menyatakan kesediaannya untuk keluar daripada BAM.

Bagaimanapun Hafiz menjelaskan, hasil perbincangan yang dilakukannya bersama BAM pada 25 Disember 2010 lalu, badan induk tersebut enggan melepaskannya.

Jelas Hafiz, BAM masih memintanya terus kekal bersama mereka sebagai persiapan untuk melepasi kelayakan ke Sukan Olimpik 2012 di London.

“Diakui, saya memang merancang mahu keluar daripada BAM dan perkara tersebut telah pun dibincangkan dengan mereka.

“Namun, sehingga kini masih belum ada kata putus dibuat mengenai perkara tersebut.

“Cuma...BAM meminta saya untuk terus kekal bagi melepasi kelayakan ke Sukan Olimpik tahun depan,” jelas Hafiz yang masih memiliki baki kontrak bersama BAM sehingga penghujung tahun depan.

Peliknya, kenyataan daripada Hafiz itu hadir selepas dia tewas ditangan pemain China, Chen Long pada aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Hafiz tewas straight set 21-14, 21-16.

Mungkin kekalahan tersebut yang mendorong Hafiz untuk mendedahkan perkara yang selama ini disimpan dalam hatinya itu kepada pihak media.

Warga media yang membuat liputan pada kejohanan itu semalam ternyata terkejut dengan keputusan Hafiz.

Namun, percaya ataupun tidak, itulah hakikatnya.

“Saya sudah tidak ada hati lagi dengan BAM. Jadi...tidak ada guna saya terus bersama BAM.

“Saya sendiri hairan mengapa BAM masih enggan melepaskan saya sedangkan saya tidak memberikan sebarang kejayaan dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini,” kata Hafiz yang kini telah menjangkau usia 29 tahun.

Andai hasrat Hafiz itu menjadi kenyataan, dia selepas ini akan bergerak secara ‘solo’ dan tidak menolak kemungkinan untuk beraksi bersama kelab-kelab badminton profesional luar negara.

“Saya tidak ada menerima apa-apa tawaran sebenarnya. Saya hanya mahu bebas tanpa bergantung daripada BAM,” ujarnya.

0 Comments: