Tuesday, January 18, 2011

Kes Bunuh Di Sadong Jaya, Sarawak!


(KETUA Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Abdul Rahman Ahmad (kanan) melihat lubang di mana mayat seorang pelajar Tingkatan Tiga, Taufik Abdul Rahim,15, (gambar kecil) yang menjadi mangsa bunuh ditanam di belakang rumah seorang suspek di Kampung Pendam, Sadong Jaya)



(MAYAT Taufik Abdul Rahim, 15, lengkap berpakaian dan berlumuran darah ditemui tertanam dalam tanah sedalam 0.5 meter)





KOTA SAMARAHAN: Hanya disebabkan mengetahui banyak maklumat mengenai kegiatan sindiket curi motosikal, seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera di sini, dibunuh kejam sebelum mayatnya ditanam di belakang sebuah rumah di Kampung Pendam, Sadong Jaya, dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Taufik Abdul Rahim, 15, berasal dari Kampung Iboi Ulu, dipercayai dipukul enam anggota geng curi motosikal sebelum mayatnya ditanam dalam lubang sedalam kira-kira 0.5 meter di belakang rumah salah seorang suspek.

Kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas polis mengesan seorang daripada suspek berusia 19 tahun menggunakan motosikal mangsa kira-kira jam 8 pagi semalam di pekan berdekatan, dan hasil soal siasat dia membawa polis ke tempat mangsa ditanam.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Abdul Rahman Ahmad, berkata laporan kehilangan mangsa dibuat keluarganya di Balai Polis Asajaya pada jam 1.30 petang kelmarin, sebelum usaha mencari dilakukan.

“Siasatan awal mengesahkan suspek bersama lima rakannya bertindak memukul mangsa dengan menggunakan kayu selepas bimbang mangsa membocorkan rahsia kegiatan mencuri motosikal di kawasan ini.

“Suspek kemudian membawa polis ke lokasi kejadian yang terletak di belakang rumahnya sebelum mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui ditanam dalam lubang,” katanya ketika ditemui, semalam.
Difahamkan, sindiket curi motosikal itu turut terbabit dalam kegiatan pecah rumah sekitar Samarahan dengan suspek ditahan pagi semalam dikatakan bertindak sebagai orang tengah.

Abdul Rahman berkata, ketika ini polis masih memburu lima lagi suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an termasuk ketua kumpulannya untuk membantu siasatan kes pembunuhan Taufik.

“Kita percaya mayat mangsa ditanam secara terburu-buru berikutan lubang digali tidak terlalu dalam. Mangsa dipercayai mati akibat dipukul di kepala dengan senjata tumpul.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 3 petang (semalam) sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” katanya.

Difahamkan, mayat Taufik ditemui dalam keadaan terduduk dengan kepala berdarah. Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Rahim Hassan, 42, berkata kali terakhir beliau melihat anak ketiganya adalah ketika mangsa keluar rumah ke kedai bagi membeli barang keperluan dapur seperti diminta ibunya, Hajijah Kalim, 35.

“Saya tidak sangka tingkah lakunya yang tiba-tiba duduk sambil merenung lama ke bawah selimut sebelum tidur malam Jumaat lalu, petanda dia akan pergi selama-lamanya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

0 Comments: