Monday, January 17, 2011

Pengikut Syiah ditahan Jais mahu saman Khusrin


Oleh Syed Mu’az Syed Putra
January 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Kumpulan pengikut ajaran Syiah yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Disember lalu hari ini membuat laporan polis terhadap bekas pengarah agensi itu, Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Kumpulan yang diketuai Kamil Zuhairi Abdul Aziz dalam laporannya berkata pihaknya mahu Khusrin (gambar) yang kini Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor diambil tindakan tegas kerana telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap pengikut ajaran Syiah.

“Kami menuntut pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhada Mohd Khusrin di bawah peruntukan undang-undang Malaysia kerana menghina, menghasut dan memfitnah.

“Kami juga menuntut pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Mohd Khusrin yang berniat jahat untuk menghuru-hara ketenteraman awam di Malaysia dan negara-negara Islam seluruh dunia.

“Selain itu, kami juga menuntut tindakan terhadap Mohd Khusrin kerana ia mencetuskan kebimbangan kepada penduduk Malaysia yang mengamalkan kebebasan beragama,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini.

Tambah Kamil Zuhairi, perkara tersebut akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat selepas mengadakan pertemuan dengan peguam.

Sebelum ini, kumpulan ini mendesak supaya Mohd Khusrin memohon maaf secara terbuka ekoran penangkapan 200 pengikut ajaran itu dua minggu lalu dengan mendakwa berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap mereka.

Namun, dalam komen kepada The Malaysian Insider sebelum ini, Khusrin enggan berbuat demikian sambil mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa kumpulan tersebut menyeleweng daripada ajaran Islam yang berlandaskan Ahli Sunah Waljamaah.

Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa Jais pada 15 Disember lalu pukul 10.15 malam, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.

Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

Kumpulan yang ditahan juga dipercayai menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

0 Comments: